Lelaki yang bekerja sebagai peraih getah sekerap di Gua Musang itu telahpun mempunyai enam orang anak hasil perkongsian hidup bersama isteri pertama dan kedua. Perkahwinan ketiga tersebut berlangsung di Golok, Thailand pada 4 Syawal lalu.

Kisah ini memberi kejutan bukan sahaja daripada sudut agama tetapi daripada sudut undang-undang. Walaupun alasan yang diberikan oleh lelaki ini bahawa dia berkahwin mengikut Sunnah, beberapa isu perundangan juga wujud. Hak kanak-kanak

tersebut serta bakal anak-anaknya nanti perlu dilindungi termasuklah jika berlaku perceraian di kemudian hari.

Beberapa kemusykilan yang membentuk persoalan menjadi isu besar seperti kenapa perlu berkahwin sekarang memandangkan pasangannya baru berumur 11 tahun dan masih dalam kategori ‘kanak-kanak’.

Di Malaysia, kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun diberi perlindungan khas dan dikawal di bawah Akta Kanak-kanak 2001 yang diluluskan bagi tujuan menjaga kepentingan kanak-kanak.

Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 pula dibuat sebagai penambahbaikan ke atas Akta Kanak-Kanak 2001 ini demi memperkasakan perlindungan ke atas mereka yang masih di bawah 18 tahun.

Dasar perlindungan kanak-kanak turut diperkenalkan di mana adalah menjadi tanggungjawab bersama setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat dalam memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak. Dasar ini selaras dengan falsafah

Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) 1989, Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 yang juga menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka.

Kanak-kanak 11 tahun yang dinikahi lelaki tersebut bukan warganegara Malaysia, malahan pada mulanya tidak dapat dipastikan status kewarganegaraannya manakala ibu bapanya merupakan warganegara Thailand. Ibu bapanya bekerja sebagai penoreh getah dan menjual getah kepada lelaki ini.

Selepas berkahwin majikan mereka kini sudah bertukar status menjadi menantu sendiri. Senario ini menjurus kepada kemungkinan terdapat unsur penganiayaan dan eksploitasi ke atas kanak-kanak tersebut.

Lelaki tersebut berkedudukan sebagai pembeli getah sekerap daripada ibu bapa kanak-kanak tersebut, manakala ibu bapa kanak-kanak itu mengizinkan perkahwinan anaknya dengan impian dan harapan boleh menikmati kehidupan yang lebih senang.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan kes perkahwinan tersebut perlu dilihat secara holistik sama ada terdapat unsur-unsur seperti pedofilia, eksploitasi kanak-kanak dan pornografi kanak-kanak.

Manakala menurut Ketua Pendakwa Raya Syarie Negeri Kelantan, sekiranya alasan berkahwin kerana miskin atau terhutang budi, hakim biasanya tidak memberikan kebenaran memandangkan usia kanak-kanak perempuan terlalu muda dan mudah untuk bercerai.

Di samping itu, perkahwinan kanak-kanak 11 tahun dengan lelaki 41 tahun ini berlaku di Golok, Thailand selepas hari raya Aidil Fitri 2018 tanpa pengetahuan kedua-dua isterinya dan belum berdaftar di Malaysia. Namun begitu, setakat ini, tiada bukti yang menunjukkan perkahwinan tersebut dijalankan di Golok, Thailand seperti yang didakwa sebelum ini.

Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002, Bahagian II-Perkahwinan Seksyen 8: umur minimum perkahwinan menyebut tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu

berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenaran secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Menurut Dr. Wan Azizah, perkahwinan tersebut tidak mendapat kelulusan daripada mahkamah untuk bapa kanak-kanak itu mewalikan anaknya selain menjadi isteri kepada orang yang lebih tua sekali gus kanak-kanak itu di bawah umur.

Disokong dengan Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002, perkahwinan tersebut tidak sah kerana mereka tidak dapatkan kelulusan Mahkamah Syariah terlebih dahulu.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri-negeri di Malaysia, usia minimum bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi perempuan adalah 16 tahun.

Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa mereka.

Menurut Ketua Pendakwa Raya Syarie Negeri Kelantan, peraih getah berusia 41 tahun yang berkahwin dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun tanpa kebenaran mahkamah boleh dikenakan tindakan dan pendakwaan di Mahkamah Syariah.

Lelaki terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002 yang membawa hukuman denda RM1,000 dan penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Bagaimanapun, untuk membubarkan pernikahan mereka memerlukan siasatan lanjut yang sedang dilakukan oleh pihak Jabatan Pendakwaan Syarie Kelantan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Lelaki itu melakukan dua kesalahan iaitu berkahwin tanpa kebenaran mahkamah dan tidak mendapat kebenaran isteri untuk berpoligami. Tempoh maksimum melaporkan perkahwinan adalah enam bulan dan menjadi satu lagi kesalahan ke atas lelaki tersebut jika terlewat dari tarikh yang ditetapkan.

Tindakan undang-undang hanya boleh diambil terhadap lelaki terbabit sahaja memandangkan kanak-kanak perempuan itu bukan warganegara Malaysia.

Perkahwinan dengan kanak-kanak bawah umur perlu dilihat dalam pelbagai sudut. Di samping berlakunya isu pengabaian oleh penjaganya, kes ini membuka penelitian perundangan dalam beberapa aspek lagi yang melibatkan dasar perlindungan

kanak-kanak.

Di antaranya adalah jika terdapat unsur antun atau ‘sexual grooming’ dalam kes ini. Antun dikategorikan sebagai kesalahan di bawah Fasal 13 dan 14 Bahagian III Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Fasal 13 boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat. Manakala sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Fasal 14 boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

Oleh itu, undang-undang perlu diperhalusi termasuk meneliti lebih mendalam elemen antun yang merupakan satu kesalahan.

Seksyen 90 (c) Kanun Keseksaan menyatakan bahawa kerelaan bukanlah kerelaan bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun. Maka menjadi tanggungjawab lelaki itu untuk membuktikan status perkahwinan itu sah kepada pihak berkuasa.

Selagi tiada bukti kukuh, kerajaan akan menganggap mereka pasangan yang belum berkahwin dan sebarang hubungan dan interaksi antara mereka tertakluk kepada pelbagai undang-undang perlindungan kanak-kanak di negara ini.

Dalam masa yang sama, kes ini menggerakkan kerajaan untuk meneliti cadangan bagi menaikkan had usia minimum perkahwinan melibatkan kanak-kanak perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Badan Peguam Malaysia menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak sebagai badan untuk mengkaji perkahwinan kanak-kanak bawah umur dan isu lain berkaitan kanak-kanak di Malaysia.

Di antara tahun 2005 dan 2015, seramai 10,240 lelaki Islam memohon untuk menikahi kanak-kanak perempuan sementara dari kalangan bukan Islam pula, terdapat 7,719 permohonan dari 2000 hingga 2014 untuk berkahwin dengan kanak-kanak perempuan berusia antara enam dan 18 tahun.

Badan Peguam Malaysia menggesa statistik yang mengejutkan ini harus membangkitkan kesedaran tentang betapa seriusnya isu tersebut. Langkah-langkah proaktif perlu dipertingkatkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai

kesan buruk perkahwinan bawah umur terhadap kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak serta terdedah kepada risiko terhadap penderaan domestik dan seksual.

Ini merupakan obligasi untuk memastikan pembangunan dan perlindungan yang sihat kepada semua kanak-kanak di negara ini berdasarkan penerimaan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC). Semua penelitian ini

adalah untuk kepentingan terbaik kepada kanak-kanak.

Roos Niza Mohd Shatiff merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah