SYARIKAT kontraktor yang terkenal dengan pembinaan banglo, Al Ansar IBS PLT (Al Ansar)  memberi tumpuan khusus kepada pembinaan banglo dengan menggunakan teknologi sistem industri bangunan (IBS)  yang lebih inovatif untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat hartanah terkemuka di negara ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, jika sebelum ini Al Ansar menyokong pembinaan kediaman menggunakan kaedah IBS, kini penambahbaikan telah dilakukan ke atas bumbungnya dengan menggunakan inovasi terkini iaitu bumbung teknologi nano dan gentian fiber hybrid yang dikenali sebagai atap gajah.

Menurutnya, Al Ansar menggunakan inovasi atap gajah sepenuhnya sejak April lalu dan ia terdapat pada model banglo baharu Al Ansar, Teratai.

“Formula terkini yang menggabungkan sepenuhnya Simen Portland SCG dengan selulosa khas itu telah  menghasilkan kekuatan dan ketahanan impak yang lebih tinggi  untuk digunakan pada bumbung atau atap kediaman.

“Penggunaannya lebih jimat jika dibandingkan dengan  atap genting kerana  mempunyai sistem aliran haba yang baik, kedap bunyi, tahan lama dan tidak mudah retak.

“Lebih menarik kerana ia mempunyai dua lapisan warna, disaluti nano anti-kulat dan paling penting lebih ringan dan menjimatkan kos logistik,” katanya berucap pada majlis pelancaran model Teratai dan Majlis Rumah Terbuka sempena Aidilfitri anjuran bersama Al Ansar IBS PLT dan Badan Bertindak Peniaga Kompleks Niaga Sungai Merab (BBPKNSM) di Bangi, baru-baru ini.

Majlis dirasmikan Pemangku Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Mohamad Sahar Md Din.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif GoHalal, Datuk Mohd Nasaruddin Ahmad, Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Mohd Fahmy Tumut dan Pengerusi (BBPKNSM), Idris Shaffiee.

Inovasi penuhi kehendak orang ramai

Muhamad berkata, dengan  inovasi ini, Al Ansar menyasarkan 150 unit rekaan menjelang tahun 2020 dengan unjuran jualan  RM20 juta.

Beliau optimis sasaran itu mampu dicapai berikutan Al Ansar antara kontraktor yang menyokong penggunaan IBS dan mendapat permintaan tinggi, malah inovasi itu memenuhi kehendak orang ramai.

“Syarikat juga giat mempromosi tawaran hadiah istimewa berupa televisyen berukuran 40 inci untuk lima pelanggan terawal dan diskaun bagi bayaran tempahan kepada pelanggan yang berminat untuk membina Banglo IBS,” katanya.

Strategi pemasaran yang agresif

Selain memfokuskan inovasi atap gajah, Al Ansar turut mengadakan kolaborasi dengan beberapa syarikat untuk memberikan tumpuan khusus kepada pemasaran hartanah yang dibina.

Pada  majlis tersebut, Al Ansar menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan dua syarikat iaitu Terraland Prestige Enterprise dan Anggun Armada yang akan menguruskan pemasaran.

“Saya optimis dengan adanya strategi pemasaran yang agresif dan betul, ia akan memacu kepada peningkatan jumlah pembinaan banglo IBS. Malah, ia akan melonjakkan keyakinan orang ramai terhadap banglo IBS yang kami tawarkan dengan harga mampu milik,” katanya.

Banglo yang pratikal

Mengenai pembinaan Banglo IBS model Teratai, Muhamad berkata, banglo tersebut praktikal kerana ditawarkan pada harga RM116,000 dengan tiga bilik tidur, dua bilik air  pada keluasan   25’ x 39’ kaki persegi.

“Dalam situasi ekonomi kini, orang ramai mempunyai bajet minima dan model ini dijangka memenuhi permintaan kerana menggunakan spesifikasi binaan yang lebih berkualiti.

“Selain penggunaan atap gajah yang menjadi salah satu spesifikasi tetap pembinaan rumah banglo di bawah Al Ansar, kami juga menggunakan jubin di seluruh kawasan dalamannya dan mengutamakan keselesaan pelanggan,” katanya.

Beliau menyarankan orang ramai memilih kaedah IBS kerana binaan lebih kukuh, tahan haba dan bunyi, penahan kebakaran, tempoh siap lebih cepat iaitu tiga bulan dan penggunaan tenaga kerja yang minima.

“Jika dibandingkan dengan kaedah konvensional, IBS mampu mengurangkan kos binaan kerana penggunaan acuan kayu dihapuskan dan diganti dengan sistem pasang siap yang lebih mudah dan sistematik sekali gus mengurangkan tenaga buruh kerana tidak ada kerja melepa dan mengikat batu-bata,†ujarnya.

Beliau menambah, projek banglo IBS Al Ansar pertama menggunakan atap gajah adalah di Sungai Buah Bangi, Beranang dan Kuang, Selangor serta di Merlimau, Melaka.

Selain banglo, Al Ansar turut menawarkan produk IBS seperti Interlocking Bricks, Interlocking Hollow Blocks dan Bumbung Atap Gajah kepada kontraktor dan individu yang ingin membina sendiri rumah  di samping latihan pemasangan batu IBS.

Maklumat lanjut mengenai Al Ansar IBS, boleh layari www.bangloIBS.my dan Facebook Banglo IBS dan Instagram @bangloIBS.