SEPANG – Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) diwujudkan kerajaan sebagai satu saluran bantuan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini yang tertinggal dalam arus pembangunan dijalankan.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, menerusi program IPR, rakyat tidak hanya melihat ia sebagai satu-satunya saluran untuk bergantung tetapi mempunyai inisiatif sendiri untuk sama-sama membantu komuniti.

“Jika sebelum ini kerajaan selalu mengatakan untuk menjadi sebuah kerajaan penyayang, kini sudah sampai masanya sikap penyayang itu ditanamkan di dalam diri masyarakat dan setiap rakyat Selangor.

“Kita mahu tiada masyarakat tertinggal dan semua bergerak seiring ke arah lebih baik, inilah yang seterusnya mewujudkan Inisiatif IPR kerana nilai kepedulian itu yang paling penting untuk kita membangun bersama-sama,†katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Sumbangan IPR Peringkat Daerah Sepang 2018 di Dewan Orang Ramai Kampung Hulu Chuchoh, di sini, hari ini.

Selain itu, Amirudin menyeru supaya rakyat yang berkemampuan untuk sama-sama membantu komuniti sama ada menerusi saluran kerajaan atau pun saluran mereka sendiri.

“Masyarakat tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya kepada mereka yang mempunyai rezeki berlebihan mungkin ada inisiatif mereka sendiri untuk membantu komuniti kurang berkemampuan.

“Contohnya, mungkin menerusi pergerakan persatuan bukan kerajaan atau menyalurkan dana bantuan menerusi agensi kerajaan, tidak kisah asalkan kita sama-sama membantu menjadi masyarakat kuat dan hebat.

“Inilah yang kita namakan pembangunan yang tidak meninggalkan masyarakat, pembangunan yang tidak melupakan masyarakat,†katanya.