PELAKON yang pernah mencetuskan beberapa siri kontroversi sebelum ini, Iqram Dinzly, mengakui sudah sedar dengan kesilapannya yang lalu dan bertekad untuk menjadi lebih baik selepas ini.

Semenjak lebih lapan bulan lalu, Iqram sering tampil dengan perlakuan pelik sehingga menarik perhatian ramai pihak, pernah dilabelkan sebagai ‘kurang siuman’ kerana beberapa tindakannya yang dikatakan tersasar dari batas normal.

Bagaimana selepas Aidilfitri lalu, pelakon asal Ipoh Perak ini tampil dengan perkembangan terkini tentang dirinya.

Menurut Iqram, berasa malu bila mengenangkan perlakuan peliknya sebelum ini dan mengakui menyesal dengan tindakannya yang terlalu mengikut perasaan ketika itu sehingga memberi kesan negatif kepada dirinya..

“Saya tidak kisah apabila dianggap sudah tidak siuman kerana hanya saya tahu, apa yang saya rasa. Apabila tersedar, saya malu dengan perbuatan sendiri. Saya bukan lagi Iqram Dinzly yang dulu.

“Terdetik juga di hati, apa sebenarnya yang saya lakukan? Saya terperangkap dan terpinga-pinga kerana tidak percaya dengan apa yang saya buat.

“Cukuplah, saya tidak mahu buat kerja gila lagi. Dulu, saya fikir boleh berkongsi apa yang dilalui dengan khalayak, tetapi saya silap. Orang sekeliling tidak faham apa yang saya rasa,” katanya kepada sebuah akhbar online.

Iqram dalam masa yang sama turut meluahkan rasa syukurnya kerana mempunyai seorang ibu yang sentiasa ada bersamanya dalam apa jua keadaan.

Malah kata Iqram, dia percaya berkat doa yang dipanjatkan ibunya,  Lalitol Akmar Mohamed Shaffie, 68, dia kembali ke pangkal jalan.

“Saya lupa, saya adalah selebriti. Saya tidak mampu melawan persepsi orang luar apabila diri tidak lagi terurus seperti ketika saya dikenali.

“Selama ini, saya lihat mama ‘okay’ dan sering menegur dengan cara baik. Saya tidak perasan dia sebenarnya susah hati. Perbuatan saya memberi kesan sangat besar kepadanya dan keluarga. Mama sangat tabah kerana ketika diuji kehilangan suami, terpaksa pula berdepan dengan anak yang berperangai pelik dan gila.

“Saya sudah tidak sanggup melihat wajah mama yang sugul dan tidak ceria. Saya mahu menjadi Iqram Dinzly dulu yang sentiasa membahagiakan mama,” luahnya.

Dalam perkongsian yang sama, Iqram turut memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan perbuatannya sebelum ini dan berjanji untuk tidak akan mengulanginya lagi.