Empat hakim berkenaan ialah Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak. Kini terdapat 13 ha­kim Mahkamah Persekutuan ter­ma­suk empat hakim tertinggi.

Ketika mencadangkan pembaharuan tersebut, Malanjum menjelaskan, baki lima lagi hakim Mah­kamah Persekutuan akan di­pilih secara undian.

“Lima ahli panel itu akan ditentukan secara undian bagi me­nge­lakkan sebarang tohmahan ma­hupun unsur-unsur negatif da­lam pembahagian kes serta pemilihan panel,’’ ujar beliau.

Penambahan bilangan hakim dalam panel bersidang itu merupakan salah satu daripada tiga cadangan pembaharuan yang di­sampaikan dalam ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-15 di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Beliau hadir dalam majlis angkat sumpah jawatan dan taat setia Presiden Mahkamah Rayuan yang baharu, Tan Sri Ahmad Maarop dan juga Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang baharu, Datuk David Wong Dak Wah.

Persidangan Mahkamah Persekutuan yang dianggotai oleh sembilan hakim tidak pernah berlaku dalam sejarah kehakiman negara walaupun permohonan bagi menambah bilangan hakim pernah dikemukakan untuk kes-kes ke­pentingan awam.

Menurut Malanjum, kes-kes kepentingan awam pula akan didengar oleh panel tujuh hakim terdiri daripada empat hakim ter­tinggi manakala tiga lagi hakim Mahkamah Persekutuan juga akan dipilih secara undian.

Malanjum, 65, menggantikan Tun Raus Sharif manakala Ahmad menggantikan Tan Sri Zulkef­li Ahmad Makinudin. Kedua-dua hakim tertinggi itu sepatutnya bersara pada 31 Julai ini, namun peletakan jawatan itu berkuat kuasa serta-merta.

Hakim Mah­kamah Persekutuan, Tan Sri Zaharah Ibrahim pula diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong menggantikan Ahmad sebagai Hakim Besar Malaya, namun watikah pelantikan belum diserahkan kerana beliau kini bercuti di Hong Kong.

Malanjum berkata, kes-kes rayuan lain akan didengar seperti biasa oleh panel lima hakim de­ngan empat dipilih secara undian.