Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Jasin, Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, beliau telah menghantar surat kepada pejabat Ketua Menteri untuk mengadakan sesi dialog dan perbincangan sejak 5 Julai lalu, namun tiada maklum balas sehingga hari ini.

“Hari ini kita mengambil pendekatan ke Seri Bendahara (untuk menghantar surat kali kedua) sebab kita masih lagi menghormati institusi kerajaan negeri yang mana kita tidak boleh melanggar sewenang-wenangnya Pejabat Ketua Menteri.

“Kita nak buat pendekatan yang baharu, kita tidak boleh lagi menggunakan pendekatan lama apabila kita sebagai pembangkang semua benda nak bangkang. Kita kena jadi orang yang check and balance,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas menghantar surat rasmi berkaitan isu mengiktiraf UEC di negeri ini di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka, Mohd. Noor Helmy Abdul Halim bersama ahli-ahli UMNO negeri. – UTUSAN ONLINE