Jabriella mencipta rekod baharu kebangsaan itu di Dewan Merdeka di sini dalam laluannya untuk memenangi emas snatch menerusi percubaan ketiga apabila mengangkat 86kg, 1kg mengatasi catatan milik Arisha Farra Erwin yang melakukannya pada 2010 dalam temasya di Melaka.

Pingat perak pula menjadi milik atlet Kelantan, Nor Sofia Mohd. Nordin (70kg) dan atlet Terengganu, Amna Yasmin Young Habsullah Young (57kg) meraih gangsa.

Atlet berasal dari Sabah itu berkata dia menghadiahkan kejayaan itu kepada ibu bapanya Teo Kui Song dan Samuel Bindigan yang tidak putus-putus memberikan sokongan dalam kariernya sejak bergiat aktif dalam sukan angkat berat lapan tahun lalu.

Jabriella turut memenangi pingat emas disiplin clean and jerk setelah mengangkat 100kg tetapi gagal dalam percubaannya untuk memecahkan rekod Sukma (102kg) dan rekod kebangsaan (103kg) yang menjadi sasarannya.

“Sebenarnya saya gembira dan sedih. Saya gembira dapat memperbaharui rekod kebangsaan untuk snatch tetapi sedih kerana gagal membuat rekod baharu kebangsaan bagi acara clean and jerk.

“Sasaran saya di sini adalah mahu memecahkan kedua-dua rekod tetapi terpaksa berpuas hati kerana dapat melakukan satu sahaja di pentas terakhir saya dalam Sukma,” katanya.

Pingat perak acara clean and jerk menjadi milik Nor Sofia (88kg) manakala pingat gangsa diraih Amna Yasmin (75kg).