Itu antara nasihat pegawai perubatan Tabung Haji kepada jemaah Malaysia supaya mereka menjaga kesihatan bagi menghadapi cuaca panas dan kering antara 40 hingga 46 darjah Celcius pada musim haji kali ini.

Walaupun cuaca panas kering tahun ini tidak seteruk tahun lepas yang mencecah 52 darjah Celcius, namun bahang panas tetap memberi kesan kepada jemaah Malaysia yang satu pertiga daripada keseluruhan 30,200 orang adalah berusia melebihi 60 tahun.

Mengikut ramalan cuaca, suhu di Madinah pada waktu siang sekarang adalah antara 40 hingga 46 darjah Celcius manakala malam antara 29 hingga 34 darjah Celcius dengan kadar kelembapan sekitar tujuh peratus sahaja.

Dalam keadaan cuaca tersebut tubuh tidak berpeluh dan tidak dapat mengawal suhu badan secara optimum.

Justeru, jemaah dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar pada waktu siang seperti membeli-belah, sebaliknya banyakkan beriktikaf di dalam masjid.

Elakkan berada di luar dan terdedah kepada matahari dalam tempoh yang lama dan banyakkan minum air.

Menurut pegawai berkenaan, jumlah minimum air yang perlu diminum adalah 300 mililiter sehari dan minuman paling baik adalah air zam-zam kerana selain menggantikan cecair dalam badan, ia turut mempunyai garam galian yang diperlukan oleh tubuh.

Beliau turut memberi panduan kepada jemaah untuk mencukupkan jumlah air yang diperlukan oleh tubuh iaitu meminum air zam-zam secara sedikit tetapi kerap.

Caranya adalah dengan meminum secawan air zam-zam yang disediakan di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram sebelum dan setiap kali selepas solat lima waktu.

Jemaah juga perlu tidur dan rehat secukupnya bagi mengelak panas yang menyengat.

Beliau juga menasihatkan mereka agar sentiasa membawa botol semburan wuduk untuk menyejukkan badan.

“Pada waktu tengah hari udara panas menyengat pada tubuh. Cuaca panas di Madinah sekarang lebih ekstrem berbanding Mekah yang lebih stabil,” katanya.

Infografik:

Tiga peringkat penyakit disebabkan kepanasan:

1. Kejang otot-jemaah mungkin berasakan otot kejang disebabkan terlalu banyak berjalan atau buat umrah, namun ia sebenarnya akibat cuaca panas.

2. Keletihan sehingga menyebabkan pening, loya dan muntah.

3. Strok haba-boleh sebabkan pengsan dan tubuh gagal berfungsi kerana tidak boleh kawal suhu.

Keadaan ini boleh menyebabkan organ dalaman rosak.

Panduan hadapi cuaca panas:

1. Minum banyak air kosong.

2. Kurangkan aktiviti luar pada waktu siang.

3. Elak terdedah lama di bawah matahari.

4. Pakai pakaian nipis seperti jubah Arab yang berwarna cerah untuk pantul haba.

5. Jemaah wanita elok pakai telekung putih.

6. Tidur dan rehat secukupnya.

7. Bersihkan hidung hanya semasa ambil wuduk.

8. Bawa botol semburan wuduk untuk sejukkan badan.

9. Jangan sorok penyakit, ikut nasihat doktor.