Baginda bertitah, jemaah haji perlu sentiasa menjaga akhlak dan menjauhi anasir tidak sihat yang mana boleh menjejaskan imej negara serta hubu­ngan baik dengan kerajaan Arab ­Saudi.

“Beta ingin mengingatkan kepada jemaah-jemaah haji agar menghormati peraturan serta undang-undang yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi sepanjang berada di Tanah Suci.

“Pada musim haji, jutaan umat Islam dari seluruh dunia akan berhimpun di Tanah Suci. Perhimpunan ini mengajar para jemaah untuk bersabar, berto­leransi dan berkasih sayang tanpa mengira bahasa, adat resam serta budaya,” titah baginda.

Baginda bertitah sempena majlis mengucapkan selamat jalan kepada 150 jemaah haji Kedah ke Tanah Suci bagi musim haji 1439H/2018M di sini semalam.

Sultan Sallehuddin turut mengingatkan jemaah haji supaya bersedia dalam semua aspek terutama dari segi kesihatan mental dan fizikal sepanjang melaksanakan ibadah tersebut selain menyarankan mereka mengikuti panduan yang diberikan Lembaga Tabung Haji dan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, jemaah haji, Ramlah L. Nor, 57, berkata, dia berasa bersyukur dan gembira kerana penantian selama 10 tahun untuk melaksanakan Rukun Islam kelima itu berakhir apabila terpilih untuk ke Tanah Suci pada kali ini.

“Walaupun tangan kanan saya tidak berupaya untuk digerakan akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu, saya berdoa diberikan kesihatan yang baik bagi menjalani ibadah ini. Jika diizinkan Allah SWT, saya mahu melakukan tawaf bersama suami tanpa menggunakan kerusi roda.

“Tetapi jika tidak berupaya, saya sudah bersyukur seandainya dapat menyempurnakan ibadah haji walaupun menggunakan kerusi roda,” ujar ibu kepada tiga anak yang tidak dapat berdiri lama tanpa bantuan tongkat itu.

Sementara itu, pasangan dari Baling, Nur Asyikin Mohamad, 30, dan Mohd. Zulhairi Zakaria, 34, memberitahu, mereka berasa gembira kerana menerima panggilan Ilahi untuk me­laksanakan ibadah haji pada usia muda.

“Saya berterima kasih kepada arwah bapa kerana membuka akaun Tabung Haji serta mendaftarkan untuk kami 12 beradik sejak kecil sehingga membolehkan saya dipanggil untuk melaksanakan ibadah haji pada November tahun lalu.

“Mungkin juga sudah menjadi rezeki suami untuk ke Tanah Suci kerana proses rayuan dengan pihak Tabung Haji untuk dia menjadi mahram saya juga dipermudahkan Allah SWT. Walaupun tabungan tidak mencukupi, kami berdua berusaha untuk menggenapkannya demi menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Suci,” ujar ibu kepada seorang anak, Nur Hana Insyirah itu.