Ini kerana haji adalah ibadat perbuatan, justeru sabar, tabah dan reda sepatutnya mengiringi perjalanan serta keberadaan mereka di Mekah.

Dengan berjuta-juta umat Islam dari seluruh dunia datang menyahut panggilan Ilahi, Mekah sentiasa dipenuhi dengan manusia dan jemaah akan berhadapan dengan pelbagai ujian serta cabaran.

Bayangkan betapa padatnya manusia dalam kawasan yang terhad seperti di Arafah, Muzdalifah dan Mina, kesesakan jalan raya perlu diharungi.

Itu belum lagi ketika melakukan tawaf dan sai, wuquf, melontar tiga jamrah sebanyak tiga kali dengan jarak antara satu sama lain bukannya dekat yang memerlukan jemaah berjalan beberapa kilometer sehari.

Jika rapuh sifat sabar, tabah dan reda, apakah maknanya ibadah yang dilakukan.

Oleh itu jangan pentingkan diri, sentiasa bertolak-ansur dan saling membantu supaya sama-sama mendapat pahala.

Paling penting, sebelum pergi haji perbetul niat iaitu untuk menjadi hamba Allah yang bertakwa kerana sebaik-baik bekal adalah takwa, bukannya ‘bekal’ serunding atau sambal ikan bilis.

Sabtu ini (14 Julai) jemaah Malaysia bagi penerbangan pertama berlepas ke Jeddah diikuti penerbangan seterusnya sehingga yang terakhir pada 15 Ogos nanti.

Bagi jemaah yang mendapat penerbangan awal, tempoh yang lama menunggu lima hari ibadah haji bermula pada 9 hingga 13 Zulhijah, mereka perlu bijak menggunakan masa sepanjang di Mekah untuk beribadat dengan sebanyak-banyaknya.

Antara manfaat ukhrawi ibadah haji adalah sebagai kem latihan penumpuan kepada ibadat dan bayangkan pahala menanti jemaah yang bersolat fardu dan sunat, membaca al-Quran dan melakukan ibadat lain di Masjidilharam.

ELAK ‘IKTIKAF’ DALAM BILIK

Menyentuh soal itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri ketika menyampaikan tazkirah semasa Kursus Haji Perdana di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur baru-baru ini mengungkapkan pesanan yang perlu direnungi setiap jemaah.

Tekadkan azam untuk menggunakan masa semaksimum mungkin melakukan manasik haji kerana dapat memberikan manfaat dan pembelajaran sebelum melaksanakan Rukun Islam kelima itu.

Dengan peluang yang diberikan, jangan ada sesal kerana tidak melakukan ibadat dengan sebanyak-banyaknya selepas balik nanti.

Justeru, tidak usah hanya duduk di kafe hotel bersembang dan ‘beriktikaf’ di bilik, sebaliknya lipat gandakan ibadat masing-masing.

Jemaah juga perlu menjaga tiga pantang yang dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud:

“(Musim) haji adalah beberapa bulan yang diketahui, sesiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats (hubungan kelamin), berbuat fasik dan berdebat dalam masa mengerjakan haji,” (Al-Baqarah ayat 197).

Jemaah juga kena ada tekad untuk sentiasa melazimi solat di Masjidilharam kerana setiap langkah adalah pahala.

Dengan pelaksanaan haji yang sempurna, mungkin apabila pulang ke tanah air nanti kita mendapat ketenangan hati, dinaikkan pangkat, rumah tangga menjadi lebih bahagia dan memperoleh rezeki yang lain.

Cuba tingkatkan amal ibadat kerana Madinah dan Mekah adalah dua tempat yang amat istimewa di mana gandaan pahala diberikan kepada yang beribadat.

Oleh itu, gunakan masa untuk mencetak pahala dengan berzikir, berdoa dan membaca al-Quran.

Sebab itu penting untuk jemaah buat persediaan rapi dan terbaik sebelum berangkat ke Mekah, tanya golongan yang arif supaya faham rukun dan wajib haji.

Jika sudah lama tidak menyelak helaian kitab suci dan pembacaan sudah ‘berkarat’, sebelum pergi, rajin-rajinlah kembali membaca al-Quran atau jika bacaan tidak lancar carilah guru untuk belajar.

Sebelum pergi juga perbanyak solat taubat dan mohonlah maaf sesama kaum keluarga dan sahabat handai kerana ini mungkin haji terakhir kita.