SHAH ALAM – Pemuda Umno mempertahankan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mencuri tumpuan selepas adegan mengutip sampah di stadium sebaik perlawanan piala FA tamat, malam tadi.

Exconya, Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata tindakan Syed Saddiq itu sesuatu yang baik dan wajar disokong serta dicontohi.

“Saya tak faham kenapa segelintir netizen bidas YB Syed Saddiq yang kutip sampah dalam stadium malam tadi. Kata berlakonlah, cari publisiti murahanlah.

“Sedangkan Syed Saddiq nak tunjuk contoh yang baik kepada masyarakat agar setiap daripada kita masyarakat jangan buang sampah merata-rata. Contoh baik kita kena sokong dan ikutlah. Jangan semua benda nak bangkang,†katanya melalui kemaskini status di Facebook, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kalau kawan buang puntung rokok pun saya kutip’]

Malam tadi, Syed Saddiq membuat kejutan sebaik tamat perlawanan akhir Piala FA antara Selangor dengan Pahang di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur apabila  mengutip sampah yang ditinggalkan oleh penyokong di tempat duduk.

Tindakan itu dirakam dan mula tular di media sosial seperti Facebook dan Twitter.

Mengulas lanjut, Wan Muhammad Azri berkata Syed Saddiq yang dikenalinya memang anti pembuangan sampah merata-rata.

“Sepengetahuan saya yang pernah melepak dengan Syed Saddiq, beliau anti pembuangan sampah merata-rata.

“Pernah lepak sekali, waktu lalu dia membebel sebab sampah atas jalan raya dan dia kutip masuk tong sampah,†katanya.

Tambahnya, mesej yang Syed Saddiq tunjuk semalam adalah untuk rakyat Malaysia khususnya penyokong bolasepak untuk bertanggungjawab jaga kebersihan stadium.