HONG KONG – Ahli perniagaan Malaysia yang dikehendaki untuk siasatan skandal membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dipercayai melarikan diri ke China dari Macau.

Memetik laporan South China Morning Post, lokasi sebenar ahli perniagaan itu, tidak dapat dipastikan.

Sumber memberitahu Jho Low, kini berada di China selepas melarikan diri dari Macau menggunakan kereta atau pesawat peribadi.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Jho Low tinggalkan Macau ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Polis Macau terima permohonan tahan Jho Low ]

Pihak berkuasa Malaysia sudah memohon bantuan Interpol untuk membawa pulang ahli perniagaan itu bagi membantu siasatan berhubung skandal rasuah berkaitan 1MDB itu.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun  mengesahkan Ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jho Taek Low atau Jho Low dipercayai telah meninggalkan Macau tanpa diketahui lokasi terbarunya.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya dimaklumkan perkara itu melalui emel yang diterima daripada pihak berkuasa Macau.

Jelasnya, notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) telah dikeluarkan untuk beliau (Low) dan harap itu memadai untuk negara berkenaan memberi maklum balas bagi mengesan di mana beliau berada.