Dalam memaksa wakil rakyat Melayu Islam dalam PH mengikut telunjuk mereka untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), menghalalkan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), mengangkat bahasa Mandarin mengatasi bahasa Melayu, mengkaji semula fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan banyak lagi, golongan ahli politik bukan Islam ini terlupa satu perkara penting dalam politik iaitu ‘bilangan undi’.

Mereka seolah-olah berfikir PH menang sepenuhnya atas undi orang bukan Melayu sahaja dan tidak memerlukan langsung undi orang Melayu dan Islam dalam pilihan raya akan datang.

Oleh itu, tiada masalah untuk mengguris hati mahupun menghina orang Melayu dan Islam sesuka hati kerana yakin mereka tetap akan berkuasa selepas PRU-15.

Permainan politik ini adalah permainan ‘nombor’, siapa yang dapat lebih undi maka dialah memegang kerusi wakil rakyat.

Siapa pegang lebih banyak kerusi maka dialah mentadbir kerajaan negeri ataupun pusat.

Dengan lebih 90 peratus undi Cina dan cuma kira-kira 50 peratus undi kaum India, adakah PH memang tidak memerlukan langsung undi Melayu?

Lebih dua juta pengundi mendaftar tidak mengundi dalam PRU-14 sementara hampir empat juta yang layak mengundi belum mendaftar.

Kedua-dua kumpulan ini majoritinya Melayu, dianggarkan mewakili hampir lima juta undi.

Pengundi Cina dan India yang tidak mengundi atau belum mendaftar pula cuma sekitar satu juta orang, adakah PH faham nombor dan kira-kira ini?

Jika tidak kisah, kenapa ramai pengatur strategi mereka mula panik bila mendapati lebih 80 peratus pengundi Melayu dan pribumi mengundi UMNO dan Pas dalam PRU-14?

Dengan 20 peratus undi Melayu dan pribumi, PH menang tipis untuk merampas kerajaan pusat dan kebanyakan kerajaan negeri tetapi adakah mereka anggap pengundi Melayu sama seperti pengundi Cina yang tetap memangkah DAP walau apa pun pendedahan atau kes jenayah melibatkan pemimpin parti itu?

Daripada 20 peratus itu berapa ramai agaknya anak Melayu ‘totok’ PH yang tetap akan kekal bersama parti dan pemimpin politik mereka sekalipun agama, bangsa dan bahasa mereka dipijak-pijak wakil rakyat bukan Islam?

Ini cuma kira-kira mudah, jika rasa orang Melayu mengundi sama seperti orang Cina maka teruskanlah bermain dengan sentimen sensitif agama dan perkauman. Sekalipun anak muda sekarang tidak berminat merusuh bermandikan darah, mereka sudah bijak menggunakan undi.

SULTAN

Pulau Pinang