PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan pertemuan dengan aktivis transgender semalam bukan bermakna beliau bersetuju dengan perbuatan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Menurut Mujahid, beliau menerima kehadiran aktivis itu memandangkan isu LGBT perlu diselami.

“Merujuk kepada pertemuan saya bersama Nisha Ayub semalam, ingin saya tegaskan bahawa pertemuan saya bersamanya tidak bermakna saya bersetuju dengan semua yang diperjuangkan mahupun mengiyakan perbuatan golongan LGBT.

“Nisha telah menghubungi saya sendiri untuk mengadakan pertemuan dan saya menerima kehadirannya dengan ikhlas memandangkan isu berkaitan transgender perlu diselami serta difahami khususnya yang berkaitan dengan peranan institusi agama bagi menangani fenomena ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Mujahid mengadakan sidang media selepas beliau dan timbalannya, Fuziah Salleh mengadakan pertemuan dengan Nisha di Kompleks Islam Putrajaya.

Dalam pada itu, Mujahid berkata sepanjang pertemuan tiada langsung dibangkitkan soal perkahwinan sesama jantina.

“Nisha tegaskan beliau bukan ikon bagi komuniti LGBT sebaliknya beliau hanya seorang aktivis yang memperjuangkan nasib golongan mak nyah yang sering disisihkan serta memberi galakan agar mereka keluar daripada ‘industri seks’.

“Pada pertemuan semalam juga, tiada langsung isu berkaitan hak sama rata melibatkan perkahwinan sama jantina dibangkitkan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan perbincangan yang dibuat bersama Nisha lebih kepada masalah diskriminasi golongan mak nyah.

“Pertemuan itu lebih kepada perbincangan bagaimana untuk mengatasi masalah diskriminasi terhadap golongan mak nyah serta bagaimana untuk mengatasi masalah yang dihadapi mereka termasuk penghayatan soal-soal agama dan beribadat secara khusus.

*Apa yang paling utama ketika ini ialah kita perlu hapuskan budaya benci dan diskriminasi kepada komuniti tersebut terutamanya di tempat kerja mahupun di tempat-tempat awam.

“Kita tidak boleh mengamalkan dasar pilih kasih dalam menjalankan kerja-kerja dakwah malah Islam juga tidak menggalakkan umatnya untuk menyakiti manusia yang lain. Hak mereka sebagai rakyat Malaysia tidak boleh dinafikan,” katanya.