PENYANYI pop terkenal, Justin Bieber akhirnya mengesahkan berita pertunangannya dengan personaliti televisyen, Hailey Baldwin, hari ini.

Menurut Justin, 24, menerusi akaun Instagramnya, mereka sebenarnya menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan berita gembira itu, tetapi momen istimewa itu bergerak lebih pantas.

“Pengaturan Tuhan itu sangat tepat, kami bertunang pada hari ketujuh dalam bulan ketujuh, nombor tujuh itu adalah bertuah buat kami berdua,” tulisnya.

Tambahnya, Hailey adalah cinta hatinya selain mahu menghabiskan keseluruhan hidupnya bersamanya.

“Awak adalah cinta hati saya dan saya tidak rasa dapat hidup tanpa awak. Awak membuatkan saya menjadi seorang insan lebih baik dan kita saling melengkapi.

“Ia melucukan kerana bersama awak segala-galanya menjadi lebih baik,” tulisnya.

Sementara itu, bekas kekasih Justin, Selena Gomez dilaporkan ‘terkejut’ mendengar berita pertunangan itu.

Bagaimanapun menurut sumber terdekat penyanyi itu, Selena kini tetap menikmati percutian bersama rakan-rakan di atas sebuah kapal mewah dan berlayar di sekitar perairan kota New York.

“Selena memang terkejut kerana lamaran itu berlaku dalam masa yang cepat, tetapi dia tidak terlalu terkejut kerana sudah menjangkakan perkara itu sekiranya ia daripada Justin.

“Namun pada pengakhirannya dia tidak kisah dan Selena juga sudah melupakannya sejak mereka kembali berpisah beberapa bulan lalu.

“Dia sudah melakukan yang terbaik untuk memperbaiki perhubungan mereka, tetapi ia tidak berjaya,” ujar sumber terbabit.