CHEMOR – Seorang warga emas maut digilis lori dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar, pekan Chemor di sini, pagi tadi.

Nahas jam 8.37 pagi itu menyebabkan Woo Kam Chau, 78, yang tinggal di Taman Hartawan Pertama di sini, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kaki kirinya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah lori.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh sebelum digilis lori dipandu lelaki berusia 28 tahun.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Chemor menghala ke Ipoh.

“Setibanya di lokasi kejadian, kedua-dua kenderaan itu bergesel dan penunggang motosikal jatuh dan digilis lori. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,†katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.