GOLONGAN kanak-kanak juga tidak terlepas daripada risiko terkena kanser dan kajian mendapati kanser darah atau lebih dikenali leukemia lebih kerap ditemui pada golongan kanak-kanak.

Pakar Pediatrik dan Pensyarah Perubatan Pelatih Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Yusoff Mohd Ramdzan berkata, melalui data yang dikongsikan dalam Pediatric Oncology: A Comprehensive Guide, sebanyak 35 peratus kanser kanak-kanak ialah leukemia.

Menurutnya, kanser kedua pula ialah kanser otak sebanyak 20 peratus, diikuti kanser buah pinggang (15 peratus); kanser tulang atau otot (12 peratus); limfoma (10 peratus); kanser mata (dua peratus); kanser hati (satu peratus) dan lain-lain kanser seperti buah zakar, ovari, testis, kulit, payudara serta usus sebanyak lima peratus.

“Untuk kanak-kanak, kebanyakannya kanser yang dialami mereka adalah disebabkan oleh faktor genetik, selain faktor persekitaran juga memainkan peranan kecil kepada mereka yang diagnosis menghidap kanser.

“Oleh itu, sekiranya keluarga terdekat mempunyai sejarah kanser, dinasihatkan untuk ibu bapa segera mengenalpasti tanda-tanda kanser tersebut dan mengambil perhatian serius jika terdapat pada anak masing-masing,†katanya.

Menurutnya, antara tanda leukemia ialah pesakit akan dapat demam berpanjangan, abdomen membesar, pucat dan mudah lebam.

Katanya, selain mengenal pasti tanda penyakit, ibu bapa juga secara asasnya boleh mendidik anak sejak dari kecil lagi untuk mengamalkan gaya hidup sihat seperti mengurangkan makanan yang diproses serta memperbanyakkan aktiviti senaman.

Untuk rekod melalui maklumat yang dikongsikan dalam laman web rasmi Hospital Tuanku Fauziah, leukemia boleh jadi akut (merebak dengan cepat) atau kronik (merebak perlahan).

Leukemia lymphocytic akut juga dikenali sebagai ALL adalah yang paling biasa terdapat pada kanak-kanak. Leukemia myelogenous akut atau AML kebiasaannya terjadi di kalangan orang dewasa dari kanak-kanak.

Leukemia lymphocytic chronic (CLL) pula biasanya berlaku di kalangan orang dewasa yang berusia melebihi 55 tahun. Ia juga boleh berlaku di kalangan remaja.

Sementara itu, leukemia myelogenous kronik (CML) sering berlaku pada orang dewasa. Hanya segelintir kanak-kanak dikesan mengalami penyakit ini.

Leukemia akut adalah jenis barah paling biasa berlaku di kalangan kanak-kanak dan penyebab utama kematian di kalangan mereka.