Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tumbuh sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama dan jangkaan sederhana pakar ekonomi bagi suku kedua ialah pada 5.2 peratus.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, kemerosotan pertumbuhan itu disebabkan oleh kejutan berkaitan komoditi dalam sektor perlombongan dan pertanian.

Bagaimanapun katanya, sektor perkhidmatan dan perkila­ngan terus menjadi pemacu per­tumbuhan, disokong oleh per­belanjaan kukuh pengguna susulan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan sifar dan permintaan berterusan terhadap produk elektrik dan elektronik serta produk berkaitan pengguna.

Nor Shamsiah berkata demikian pada sidang akhbar pertama­nya selepas pelantikan beliau sebagai Gabenor pada 1 Julai 2018, menggantikan Tan Sri Muhammad Ibrahim.

“Pertumbuhan dalam sektor perlombongan menguncup dise­babkan terutamanya gangguan bekalan yang tidak dijangka, manakala sektor pertanian meng­alami kekangan pengeluaran dan keadaan cuaca yang buruk.

“Aktiviti sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan apabila kedua-dua pelaburan dan penggunaan swasta berkembang kukuh semasa suku kedua,” kata Nor Shamsiah.

Permintaan domestik berkembang 5.6 peratus dalam suku kedua, yang mana penggunaan sektor swasta meningkat 8 peratus dan pelaburan sebanyak 6.1 peratus.

“Penggunaan sektor awam me­ningkat 3.1 peratus manakala pelaburan sektor awam turun 9.8 peratus pada suku kedua,” kata beliau.

Mengikut sektor, sektor per­khid­matan, perkilangan dan pembinaan masing-masing me­ning­kat 6.5 peratus, 4.9 peratus dan 4.7 peratus.

Pertumbuhan sektor perlombongan susut sebanyak 2.2 peratus dan pertanian turun sebanyak 4.7 peratus. – BERNAMA