MOHAMAD SABU
MOHAMAD SABU

Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, Mohamad berkata, selaku Menteri bertanggungjawab, beliau mengambil maklum dan akan meminta pihak Tentera Laut Diraja Malaysia melakukan siasatan segera dan mengeluarkan laporan terperinci mengenai kejadian tersebut.

“Saya memberi jaminan bahawa siasatan ini akan dijalankan secara bebas dan adil serta tiada sebarang “cover upâ€akan dilakukan.

“Saya juga merayu agar pihak keluarga mendiang bersabar dan menunggu sehingga siasatan selesai dijalankan. Tindakan tegas akan diambil sekiranya terbukti ada pihak yang terlibat dalam salah laku sehingga menyebabkan Soosaimanicckam,” kata Mohamad.

Beliau mengulas desakan keluarga Soosaimanicckam mengesa agar hasil siasatan kematian pegawai kadet itu didedahkan.

Pada 20 Mei lalu TLDM telah menubuhkan satu lembaga siasatan bagi mengenalpasti dan menyiasat punca sebenar kematian Soosaimanicckam.

Soosaimanicckam disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak pada pukul 1.45 petang pada 19 Mei.

Sebelum itu, pada 12 Mei lalu, Soosaimanicckam melaporkan diri di Kapal Diraja (KD) Sultan Idris I bagi menjalani latihan Kursus Kelayakan Pegawai Graduan.

Pada pagi hari kejadian, dia bersama rakan-rakan lain menjalani latihan fizikal seperti termaktub dalam rutin jadual harian pelatih dan diselia oleh jurulatih jasmani TLDM.

Bagaimanapun, pada pukul 12.20 tengah hari, Soosaimanicckam mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapan dan seterusnya dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Lumut.

Dia kemudian diberikan bantuan pernafasan dan rawatan lanjut oleh doktor yang bertugas namun disahkan meninggal dunia. – UTUSAN ONLINE