TELUK INTAN – Ibu bapa mana yang sanggup melihat bayi mereka berusia dua bulan terpaksa menanggung kesakitan selain mengambil pelbagai jenis ubat selepas menghidapi masalah hati kronik.

Nur Aira Umairah Mohd Nor Faiz, dua tahun, dilahirkan normal seperti bayi lain, namun ketika berusia satu tahun tiga bulan dia disahkan mempunyai masalah hati selepas terkena jangkitan kencing tikus.

Luluh hati kedua-dua ibu bapanya Noor Hazzarita Rahim, 30 dan Mohd Nor Faiz Sakariah, 30, apabila melihat keadaan puteri bongsu mereka yang dahulunya ceria kini terpaksa menanggung kesakitan serta hilang selera makan akibat masalah Cryptogenic Liver Cirrhosis.

Bagi bapa Aira Umairah, Nor Faiz, tidak menyangka sama sekali anak bongsunya itu disahkan menghidapi masalah hati kronik selepas dia menyedari mata anaknya kuning ketika pulang kerja kira-kira sembilan bulan lalu.

“Ketika itu, anak saya berumur setahun tiga bulan dan bila balik kerja malam saya tengok matanya berwarna kuning dan tidak mengesyaki apa-apa, tetapi keesokannya mata dia masih lagi berwarna kuning dan kami membawa dia ke klinik swasta di Taman Botani, Ipoh.

“Doktor kemudian meminta kami rujuk kepada Hospital Pantai dan apabila pemeriksaan dijalankan mereka memaklumkan anak kami suspek kencing tikus sebelum di pindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),†katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediaman ibunya di Kampung Chikus, Sungai Manik, Teluk Intan.

Tambahnya, dia dan isteri kemudian meminta anak mereka untuk dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan lanjut selepas didiagnosis menghidapi masalah hati kronik.

“Selepas dimasukkan ke PPUM Aira dibenarkan pulang tetapi saya dan isteri terpaksa membawa Air mereka ke PPUM dua kali sebulan bagi menerima rawatan lanjut,†katanya.

Pembedahan di Hospital Renji Shangai

Menurut Nor Faiz, doktor ada mencadangkan agar anaknya menjalani pembedahan hati ekoran masalah yang dihadapi Aira Umairah memerlukan pembedahan bila-bila masa sahaja.

“Awal tahun ini doktor ada beritahu bahawa jika kondisi Aira tidak mengizinkan dia perlu menjalani pembedahan dengan segera dan 3 Julai lalu apabila kami bertemu dengan doktor dia memaklumkan bahawa pembedahan perlu dijalankan dalam tahun ini.

“Ia berikutan keadaan Aira yang semakin merosot kerana dia sudah hilang selera makan dan hanya minum susu kotak perisa coklat sahaja dan ia amat merisaukan saya serta isteri,†katanya.

Tambahnya, selepas berbincang dengan doktor, Aira Umairah disarankan agar menjalani pembedahan hati di Hospital Renji, Shanghai, China kerana negara kita tidak mempunyai kepakaran untuk menjalankan pembedahan tersebut.

“Apa yang membuatkan kami khuatir adalah kerana kos pembedahan yang tinggi iaitu sebanyak RM200,000 yang diperlukan untuk membawa Aira ke sana dan kami tidak mampu walaupun saya dan isteri bekerja.

“Kerana itu saya mengambil inisiatif memasukkan perkara ini di dalam Facebook serta surat khabar bagi meminta jasa baik rakyat Malaysia bersama-sama menyumbang kepada kami untuk pembedahan hati Aira,†katanya.

Tambahnya lagi, dia juga turut menghantar surat kepada beberapa syarikat, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin serta pihak lain untuk sumbangan.

“Saya berharap wang untuk pembedahan hati anak saya dapat dikumpulkan secukupnya dalam kadar segera dan membolehkan kami ke China untuk membawa Aira menjalani pembedahan secepat mungkin,†katanya.

Saya atau isteri akan dermakan hati

Sementara itu, Noor Hazzarita turut meluahkan isi hatinya sebagai seorang ibu dia mempunyai impian mahu melihat Aira Umairah kembali ceria seperti dahulu dan dapat bermain seperti kanak-kanak lain sebayanya.

“Harapan saya adalah agar anak saya cepat sembuh seperti sebelum ini yang mana sentiasa ceria bermain dan tidak seperti sekarang menangis menahan kesakitan serta tiada selera makan.

“Hati ibu mana tidak luluh melihat anak yang saya kandungkan sembilan bulan lahir dalam keadaan sihat kemudian tiba-tiba disahkan menghidapi masalah hati dan saya berharap Aira baik seperti sediakala,†katanya.

Tambahnya, dia dan suaminya juga berharap agar orang ramai tidak kira individu mahupun syarikat dalam negara ini menyumbang meringankan beban mereka untuk menjayakan pembedahan hati Aira.

“Moga dengan sumbangan anda dapat meringankan kos serta membolehkan Aira menjalani pembedahan hati dengan segera di Hospital Renji, Shanghai.

“Saya sudah tidak mampu melihat anak setiap hari makan pelbagai jenis ubat dan menangis setiap kali menerima rawatan di hospital,†katanya.

Menurut Nor Faiz dia atau isterinya akan menjadi penderma hati kepada Aira Umairah sekiranya kos pembedahan sudah mencukupi untuk membolehkan anaknya menjalani pembedahan di China.

“Saya berharap agar anda semua bantulah kami mengembalikan semula keceriaan anak kami selepas disahkan menghidapi masalah hati kronik yang meruntun jiwa kami sekeluarga,†katanya.

Orang ramai yang ingin menyampaikan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun semasa Maybank di atas nama Mohd Nor Faiz Sakaria bernombor 5080-6561-5753.