Saya beranggapan kebanyakan orang awam masih kurang menguasai bahasa Arab dengan baik. Maka saya syorkan mulalah membaca penulisan dalam bahasa yang kita fahami, di samping mengasah kemahiran bahasa Arab kerana kebanyakan penulisan yang baik dan utama masih belum diterjemahkan.

Sebelum memulakan langkah mendalami ilmu hadis, kita perlu jelas apakah jenis cabang ilmu-ilmu hadis yang diminati, adakah berkaitan fiqh hadis, sains hadis atau kedua-duanya?

Realiti ramai penuntut ilmu hadis minat mereka lebih cenderung kepada satu cabang sahaja. Ramai juga yang hanya berminat kepada fiqh hadis yang lebih tertumpu pada makna-makna hadis, sedikit pula yang meminati sains hadis yang lebih fokus pada penilaian status hadis. Tidak dinafikan, kedua-duanya sangat penting.

Jika kita cenderung menerokai bidang fiqh hadis, tidak dinafikan penguasaan bahasa Arab perlu dipertingkat kerana ia melibatkan banyak perbincangan mengenai kefahaman hadis dan perincian bagi setiap lafaz hadis.

Jika bidang sains hadis yang lebih diminati, maka keperluan terhadap bahasa Arab juga tinggi kerana ia melibatkan banyak perihal perawi dan rujukan, sedangkan hampir kesemua rujukan ini dalam bahasa Arab.

TEKADKAN MINAT

Setelah mengetahui hala tuju, teguhkan cabang-cabang ilmu yang boleh diumpamakan sebagai tiang asas menguatkan binaan. Bermula dengan rujukan yang mudah, lalu mendapatkan bimbingan pembimbing baik yang mampu memandu kita menerokai ilmu hadis.

Ketahui siapa guru-guru yang ahli dalam bidang tersebut dan mempunyai waktu lapang untuk bersama kita. Lazimi mereka dan masuklah ilmu dikehendaki melalui pintu yang betul. Jangan jemu dan goyah dengan kesukaran yang dihadapi dalam proses menimba ilmu. Konsisten hingga mencapai objektif dan kepuasan yang dicari.

Sebarang ilmu sememangnya menuntut komitmen berterusan dan usaha keras yang semestinya memakan masa lama. Saya kira untuk menjadi pakar dalam bidang lain juga sebegitu, itu pun hanya pakar dalam bahagian-bahagian kecil tertentu sahaja.

Tidak dinafikan komitmen dan urusan harian hari ini banyak menyibukkan kita daripada sempat meluangkan masa untuk fokus, menelaah serta menganalisis yang dapat meningkatkan kemahiran ilmu. Sememangnya sukar untuk menguasai banyak disiplin ilmu pada zaman yang seakan-akan kurang keberkatan masa ini.

Saya pernah mendengar Almarhum Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata suatu ketika dahulu (jika ingatan saya tidak silap):

“Pada hari ini, kita hanya mampu menjadi mujtahid juz’iy sahaja (pakar dalam sesetengah bidang sahaja)….”

Namun pada masa yang sama, tidak mustahil untuk mahir dalam bidang hadis jika kita memiliki minat, fokus dan usaha. Saya melihat kunci paling utama ialah minat kerana dengan minat, usaha dan perkara lain akan datang dengan sendirinya.

Tidak pelik ramai yang kurang berminat mendalami disiplin hadis kerana barangkali berasa takut serta hilang harapan atau melibatkan hafalan dan kemahiran yang luas. Barangkali juga kerana tidak melihatnya ada kaitan dengan isu-isu semasa.

SENI ISTIMEWA

Bagi saya disiplin hadis ialah satu ‘seni’. Banyak unsur dalamnya yang sangat berkait rapat dengan hal-hal semasa sama ada dari sudut teks atau ilmu sanad.

Cuma berapa ramai yang mempunyai pemikiran kritis untuk memahami semua itu? Ramai yang menganggap belajar hadis itu semata-mata hafal hadis sahaja, atau hafal itu dan ini. Silap sama sekali!

Seni hadis membina kehidupan, melakar panduan buat diri dan pelbagai aspek kehidupan manusia. Sukar untuk diungkapkan keindahan seni hadis ini pada ruang coretan ini.

Sukar? Saya rasa bidang perubatan pun sangat sukar. Saya banyak melihat pelajar-pelajar perubatan yang kerap menyendiri dan fokus belajar sepanjang masa demi menjadi seorang doktor sama ada rela atau tidak.

Saya juga melihat banyak pelajar yang belajar pada malam-malam peperiksaan sahaja. Alangkah baiknya kalau setiap hari dianggap sebagai hari peperiksaan yang kita berusaha meluangkan masa dan komitmen untuk mencari ilmu. Jika seseorang penuntut itu menghadkan tahap keinginannya, bagaimana kemahiran ilmunya mampu berkembang?

Seorang pelajar yang hanya inginkan keputusan yang biasa-biasa, maka usahanya juga akan biasa-biasa. Sudah tentu ilmu mana-mana bidang sekalipun tidak datang dengan kerehatan. Kita boleh lihat misalnya profesor-profesor sains yang menghabiskan sepanjang hayatnya di makmal untuk mengkaji dan meluaskan pengetahuan bidang mereka dan menerokai sesuatu yang baharu sambil tersenyum menikmati kerja mereka.

Begitu juga dalam bidang hadis, saya kerap melihat ramai profesor hadis yang bergelumang dengan kajian, perpustakaan, buku sepanjang hayat mereka. Bagaimana mereka melakukan perkara tersebut?

Kesanggupan ini hanya wujud jika minatnya sangat tinggi, lalu kita akan menikmati proses pembelajaran tersebut walaupun sukar. Bila kita seronok, segala cabaran akan dilalui dengan senyuman penuh kepuasan.

Saya juga pernah melalui tempoh atau peringkat tidak minat, kabur dengan bidang hadis beberapa tempoh yang agak lama. Saya faham situasi di mana ramai yang belum melihat masa depan hadis mereka.

Namun apabila minat itu datang, saya pernah duduk menghadap komputer, buku dan kertas selama 18 jam setiap hari untuk menyelesaikan kerja menyemak (tahqiq) dan menganalisis beberapa naskhah manuskrip, hanya berhenti untuk solat dan makan sahaja, lalu tidur empat jam sebelum mengulangi rutin tersebut. Walaupun badan dan minda ini dirasakan tersangat lelah, namun perasaan ini tersangat puas!