SIK – Kerajaan negeri bercadang membeli sebidang tanah seluas 2.4 hektar untuk keperluan 26 penduduk yang terlibat Skim Permindahan Air Jeniang.

Exco Kesihatan Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, tanah tersebut akan dipecahkan kepada setiap lot bagi membolehkan penduduk mendirikan rumah.

“Luas setiap lot ialah 6,000 kaki persegi.

“Tapak berkenaan telah dikenal pasti dan jaraknya tidak jauh dari lokasi pembinaan jambatan bagi projek tersebut,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mengeluarkan bajet membeli tanah berkenaan.

“Bajet keseluruhan beli tanah seluas 2.4 hektar, berserta dengan membuat lot, binaan longkang dan jalan harganya ialah RM1.5 juta,” katanya.

Ismail berkata, di peringkat kementerian berkenaan telah mengadakan mesyuarat bagaimanapun buat masa ini, belum ada keputusan berkaitan bajet dipohon.

“Jika projek itu diluluskan Kementerian Pertanian akan beli tanah itu. Kerajaan negeri akan main peranan untuk menukarkan tanah tersebut daripada tanah pertanian (getah) kepada tanah lot-lot rumah.

“Bila telah ditukar status tanah, barulah nanti setiap lot akan jadi geran hak milik persendirian untuk setiap seorang. Statusnya kita masih menunggu keputusan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya.

Mengulas tuntutan penduduk yang mahu bayaran RM8 sekaki persegi, Ismail berkata, harga tersebut akan ditetapkan mahkamah Ogos ini.

“Bila mahkamah telah tetapkan harga, mereka perlu akur,”katanya.

Sinar Harian pada 6 Ogos lalu melaporkan penduduk dari Kampung Kota Bukit, Kampung Tala dan Kampung Langguk tidak bersetuju terhadap pengambilan tanah dan rumah mereka bagi pelaksanaan projek tersebut.

Sebahagian mereka menuntut bayaran tanah daripada RM2.40 hingga RM3 dinaikkan kepada RM8 sekaki persegi.

Difahamkan, projek itu telah diluluskan kerajaan terdahulu.

Operasi kini membabitkan 26 penduduk bagi fasa satu manakala fasa kedua belum dijalankan.