BAYAN BARU – Tahap pencapaian kerajaan baharu yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) sehingga hari ini diklafisikasikan sebagai telah melepasi tahap lulus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, tahap lulus itu disifatkan sebagai tidak terlalu teruk dan tidak terlalu cemerlang berikutan masih ada beberapa perkara yang belum dilaksanakan.

Walaupun begitu menurutnya, kerajaan perlu bersikap terbuka untuk mengakui perkara yang belum dilaksanakan agar rakyat mengetahuinya.

“Jika tahap kosong itu adalah yang paling buruk dan 10 itu yang paling baik, maka kita (kerajaan PH) kini telah melepasi tahap lulus.

“Kerajaan perlu berkomunikasi dengan rakyat untuk memberitahu mengapa kita dapat laksanakan. Kita tak boleh sembunyikan dan tidak boleh mengamalkan sindrom penafian. Jika masih tak boleh laksanakan, beritahu. Jika dah laksana pun kena beritahu.

“Saya fikir, rakyat boleh terima dengan cara seperti ini. Yang tak boleh terima, Umno dan BN saja. Dengan cara ini juga dapat membezakan kerajaan masa ini dengan kerajaan terdahulu,” katanya kepada media di Program Sumbangan Penghargaan Ibu Emas Dun Pantai Jerejak di sini tadi.

Mengulas janji yang ditunaikan kerajaan PH dalam tempoh 100 hari, Saifuddin mengakui ada sebahagian janji belum dapat ditunaikan kerana beberapa kekangan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Belum dilaksanakan dalam tempoh 100 hari tidak bermakna kita tak akan laksanakan terus. Mungkin ambil masa sehingga kedudukan kewangan negara pulih.

“Seperti sedia maklum, hutang negara yang sedang diuruskan begitu besar dan ia perlu diselesaikan secara berperingkat,” katanya.