Hal ini penulis tekankan kerana konflik yang diuruskan oleh ahli politik biasanya lebih memen­tingkan politik partisan dengan anggapan sesuatu pemikiran yang dimiliki oleh parti sendiri sahaja betul. Sedangkan kefahaman parti politik lain, semuanya tidak benar.

Maka di sinilah timbulnya rasa taksub dan fanatik partisan yang melampaui batasan pemikiran dan hakikat ilmu tertentu. Kerana taksub partisan, jarang sekali mencuba untuk menyelesaikan masalah dan konflik melalui angka dan fakta yang berdasarkan penyelidikan ilmiah yang rapi.

Bagaimanapun, jika diteliti pe­ngertian ayat al-Quran, ternyata bahawa umat Islam tidak se­harusnya menjadikan perbeza­an kefahaman tentang agama ter­utamanya, sebagai titik tolak untuk berkonflik dan bermusuhan dengan umat bukan Islam. Namun dalam masa sama, umat Islam haruslah mempertahankan akidah dan elemen-elemen yang boleh merosakkan dengan tegas ketika terdapat pertentangan dan halangan dari pihak lain.

Di sinilah terletaknya kebijaksanaan dan hikmah yang ditunjukkan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW dan ajaran Islam umumnya tentang adab-adab berkonflik dan berselisih faham. Pertikaian tentang nama Allah umpamanya, tidak seharusnya dijadikan alasan untuk berkonfrontasi dengan pihak lain. Malah dalam hal ini dan dalam hal-hal lain yang menyentuh akidah, kita semuanya tetap mengamalkan dasar bersatu dalam kepelbagaian (unity in diversity) dengan sya­rat orang bukan Islam juga seharusnya menunjukkan sikap yang sama terhadap umat Islam.

Ayat yang maksudkan itu adalah firman Allah SWT di dalam ayat 46, surah (29) Al-‘Ankabut: Dan janganlah kamu berbahas (berdebat) dengan ahli kitab me­lainkan dengan cara yang lebih baik kecuali orang yang berlaku zalim di antara mereka, dan katakanlah (kepada mereka) “kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami, dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu, dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu adalah satu, dan kepada-Nya-lah kami patuh dengan berserah diri”.

Penulis usulkan agar umat Islam meneliti kandungan ayat ini dan mengkaji tafsirnya yang baik daripada ulama dan ahli tafsir yang tulen. Para pentafsir me­ne­rangkan tentang konteks dan kandungan ayat ini bahawa sekiranya berlaku perdebatan di antara orang Islam dan orang bukan Islam, ahli kitab, orang Yahudi dan Kristian, maka janganlah berdebat dengan cara yang tidak baik, tetapi ambil cara berhikmah, lemah lembut dengan mengemukakan hujah secara ilmiah dan benar, yang dapat menyerlahkan kebenaran Islam dan perbezaannya dengan golongan lain yang tidak mengikut ajaran tauhid.

Perbincangan yang dijalankan dengan berakhlak dan berdasarkan hujah yang meyakinkan, bia­sanya akan dapat diterima de­ngan baik juga oleh pihak lain. Bagaimanapun ayat ini meramalkan bahawa mungkin akan terdapat golongan lain yang akan bertindak secara zalim iaitu tanpa tolak ansur, maka dalam keadaan ini umat Islam haruslah bertegas untuk mempertahankan akidah itu mengikut situasi penentangan yang ditujukan kepada umat Islam sendiri.

Rasulullah SAW menjelaskan yang haram itu jelas, yang halal juga adalah jelas dan di antara kedua-duanya itu terdapat isu-isu atau hukum yang samar-samar. Maka konsep zat Allah adalah amat jelas di antara Tuhan kita orang Islam, dengan Tuhan agama lain, dan hal ini terang-terang menyentuh akidah umat Islam, yang seharusnya dipertahankan oleh semua umat Islam.

Para ulama yang sejati tentu mengetahui asas-asas akidah ini dan dalam masa sama menge­tahui juga perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, sehingga seorang Islam itu boleh menjadi kafir atau murtad.

Dalam sejarah konflik umat Islam yang berlaku dalam era ke­bangkitan Islam pada tahun-tahun 70-an dan ketika umat Islam berusaha untuk kembali kepada ajaran agamanya yang sejati termasuk dalam bidang politik, kerajaan, sosial, ekonomi dan sebagainya, maka kefahaman tentang akidah juga sering terbawa-bawa di dalam konflik itu.

Masyarakat Malaysia juga me­ngalami kejutan ini dan sehingga ke hari ini banyak saksi yang tampil mengemukakan bukti dan pengalaman masing-masing ke­­tika berlaku perpecahan yang serius di dalam masyarakat Islam sendiri akibat daripada elemen ini atau pentafsiran yang dibuat oleh orang awam tentang wujudnya kumpulan-kumpulan tertentu yang dianggap kafir berbanding de­ngan golongan yang lain.

Fakta sejarah ini tentulah tidak dapat dinafikan lagi. Dan sungguh pun kesannya secara langsung mungkin mulai luput tetapi penulis merasakan ulama dan ahli agama bersama-sama de­ngan ahli ilmuwan dan ahli politik sendiri, haruslah berusaha membetulkan keadaan ini. Kita perlu membe­tulkan fakta sejarah yang berlaku dalam masyarakat Islam walaupun perkara itu te­lah lama berlalu kerana hal ini adalah menyentuh satu perkara yang amat serius ia­itu isu akidah umat Islam sendiri, yang hal ini tidak sepatutnya berlaku dalam konteks negara kita.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).