PUTRAJAYA – Kementerian Industri Utama sedang menyiapkan kertas Kabinet berhubung cadangan program biodiesel B10 di Malaysia yang dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum akhir tahun.

Menterinya, Teresa Kok, berkata program biodiesel mampu membantu pekebun kecil kelapa sawit di negara ini menghadapi kejatuhan harga.

“Kerajaan tidak mampu keluarkan subsidi (untuk pekebun kecil sawit) dan satu cara untuk tingkatkan penggunaan sawit ialah melalui program biodiesel. Di  Indonesia, program bahan api berasaskan sawit berjaya membantu pekebun kecil.

“Justeru, saya berasa Malaysia  boleh mengambil pendekatan sama,” katanya kepada pemberita selepas sesi perbincangan dengan  Wilmar Trading Pte Ltd, di kementeriannya, di sini, hari ini.

Biodiesel B10 terdiri daripada campuran 10 peratus ester metil minyak sawit dan 90 peratus diesel biasa.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Biobahan Api Kementerian Industri Utama, Ahmad Farid Mohammed, berkata sesi pertemuan bersama pelbagai pihak yang bermula 1 Ogos lepas sudah selesai.

“Tiga pihak yang terbabit ialah syarikat automatif, syarikat petroleum dan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM). Jadi kesemua pihak berkepentingan sudah ditemui,” katanya.

Tambah beliau, model program biodiesel B10 yang dicadangkan di Malaysia sedikit berbeza dengan yang dilaksanakan di Indonesia.

Sementara itu, Ketua Negara Wilmar Trading Pte Ltd Indonesia, Darwin Indigo, ketika ditemui berkata, Indonesia berjaya dalam melaksanakan program biodiesel dan Wilmar berpendapat, Malaysia boleh melakukan perkara sama.

“Ini (program biodiesel) adalah program yang baik untuk Malaysia yang mana adalah pengeluar kedua terbesar minyak sawit di dunia. Mengambil kesempatan daripada permintaan domestik yang kukuh adalah lebih baik daripada bergantung kepada negara luar untuk membeli produk kita,†tambahnya.

Indigo berkata, Wilmar menyokong program B20 kerajaan Indonesia dan bekerjasama dengan kerajaan untuk melaksanakan biodiesel di Indonesia.

Wilmar yang berpangkalan di Singapura turut mengeksport produk biodiesel ke Eropah, India, China dan Amerika Syarikat, tambahnya. – Bernama