Penyelaras, Unit Penyelidikan Pendidikan Asas Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Abdul Rashid Mohamed berkata, pelaksanaan itu wajar memandangkan masalah tersebut bukan sahaja mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran, malah boleh meragut nyawa jika gagal ditangani sebaiknya.

“Kementerian perlu mensyaratkan semua guru menjalani ujian kemurungan secara berkala dan memberi lebih kesedaran tentang penyakit ini serta bahayanya kepada guru,murid dan ibu bapa.

“Khidmat kaunseling di sekolah bukan sahaja untuk murid malah harus diberikan kepada guru. Mungkin talian 24 jam khas untuk guru mendapat nasihat atau berkongsi masalah boleh diwujudkan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd. Razak menerusi satu laporan Utusan Malaysia baru-baru ini mendedahkan tahap masalah kemurungan dalam kalangan guru disifatkan cukup serius terutama membabitkan mereka yang bertugas di bandar besar.

Katanya, perkara ini berlaku akibat bebanan kerja yang semakin meningkat apabila perlu mengendalikan kelas yang mempunyai sehingga 60 murid.

Dalam pada itu, Abdul Rashid menegaskan kemurungan adalah perkara yang amat serius kerana tidak ramai termasuk golongan pendidik yang sedar tentang tahap kesihatan mental masing-masing.

“Sukar untuk memperoleh data tentang gejala ini kerana dalam masyarakat kita tidak ramai yang rela mendedahkan kemurungan yang mereka hadapi gara-gara takut dianggap gila.

“Disebabkan itu, tidak mustahil pada ketika ini masalah kemurungan yang turut melibatkan sebilangan golongan pendidik berada pada tahap lebih serius daripada yang kita sangkakan,” ujarnya.