KUALA LUMPUR – Keyakinan rakyat terhadap ekonomi negara dijangkakan terus meningkat pada suku ketiga tahun ini berdasarkan trend menaik yang ditunjukkan dalam kajian soal selidik oleh Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata secara keseluruhannya, skor Keyakinan Ekonomi MTEM (MECS) untuk suku kedua 2018 meningkat 9.4 mata kepada 39.3, berbanding 29.9 pada suku pertama tahun ini, dan meningkat 1.3 mata daripada 28.6 pada suku keempat 2017.

“Peningkatan ini berkemungkinan disebabkan faktor perubahan landskap politik tanah air selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Rakyat menyambut baik kemenangan Pakatan Harapan yang telah menyimpan harapan besar untuk mengotakan semua janji-janji kempen pilihan raya,†katanya ketika pembentangan kajian tersebut di sini hari ini.

Kajian secara rawak yang dijalankan MTEM setiap suku tahun itu melibatkan 1,579 responden berumur 21 tahun ke atas dari seluruh negara, mulai 7 Jun hingga 25 Jun.

Selain itu, indikator ekonomi yang lebih positif seperti pengekalan harga RON 95 pada kadar RM2.20 seliter dan pertumbuhan ekonomi tahunan sebanyak 5.37 peratus hingga suku pertama tahun ini juga merupakan antara faktor yang mendorong kepada peningkatan skor ini.

Bagaimanapun beliau  berkata skor MECS dijangka jatuh mendadak bagi suku-suku akan datang sekiranya janji-janji pilihan raya tersebut tidak dikotakan.

“Faktor pengurangan kuasa pembeli, kejatuhan nilai ringgit dan indeks harga pengguna akan turut menyumbang kepada kejatuhan skor tersebut,†katanya.

Selain itu, kerajaan wajar mengambil langkah pantas untuk merapatkan jurang ekonomi yang semakin ketara.

“Antara yang boleh dilakukan ialah meningkatkan gaji minimum sejajar peningkatan kadar inflasi, meningkatkan nilai bantuan sara hidup dan membantu golongan rendah mengumpul aset seperti hartanah,†katanya. -Bernama