SHAH ALAM – Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah meminta pengurusan Pos Malaysia Bhd mengkaji dan mempertimbangkan inisiatif yang boleh dilaksanakan untuk membantu pekerja pos.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata ini selaras dengan tumpuan kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah.

“Pekerja pos memainkan peranan yang penting dalam masyarakat kita. Mereka memastikan surat-surat dan item-item Pos Laju kita dihantar dan tiba tepat pada waktunya, dan dalam keadaan selamat, serta membolehkan kita membuat pelbagai jenis urusan dan pembayaran di pejabat pos.

“Semua itu dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan amanah walaupun sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya selepas melancarkan Projek Penambahan Kapasiti Pusat Bungkusan Bersepadu (IPC) di sini, hari ini.

Berhubung lawatannya, Gobind Singh berkata beliau percaya Pos Laju menuju ke arah yang betul dengan menambah kapasiti hab pemprosesannya untuk memenuhi pertumbuhan pesat sektor eDagang.

“Pos Laju menerajui aspek automasi dan penambahan kapasiti iaitu aspek yang penting dalam era digital ini bagi memenuhi jangkaan dan permintaan pengguna.

“Walau bagaimanapun, ia perlu tangkas dan cepat dalam inisiatif penambahan kapasiti dan pembangunan selaku tulang belakang ekonomi negara,” kata Gobind Singh.

IPC adalah kemudahan pengisihan bungkusan automatik Pos Malaysia dan penambahan terbaru itu meningkatkan kapasiti sebanyak 150 peratus daripada 112,000 item kepada 300,000 barangan setiap hari.

IPC Pos Malaysia di Shah Alam ialah pusat pemprosesan automatik pertama di rantau Asia Tenggara yang menggunakan peralatan dan teknologi ‘cross-belt’ terkini.

Kira-kira RM50 juta telah dilaburkan dalam memperluas kapasiti IPC yang dilaksanakan di bawah Projek Penambahan Kapasiti IPC. – Bernama