PUTRAJAYA –  Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail hari ini secara rasminya menggalas tanggungjawab berkenaan di kementerian.

Saifuddin Nasution bersama timbalannya yang juga Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mengetip kad perakam waktu pada jam 9.18 pagi sebagai simbolik permulaan tugas, disaksikan ratusan kakitangan kementerian itu.

Menurut Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu, beliau dan Chieng Jen ada beberapa idea baharu untuk disuntik dalam kementerian yang berurusan secara langsung dengan kepentingan rakyat.

“Perkara itu hanya akan diterjemahkan supaya berlaku adil dengan mengambil kira keadaan semasa yang berlangsung. Dari situlah kami akan berikan fokus dan keutamaan.

“Kementerian ini berurusan langsung dengan kepentingan rakyat sebagai penerima manfaat akhir dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan kepenggunaan seperti harga barang dan seumpamanya,†katanya ketika ditemui media pada hari pertama beliau memulakan tugas di KPDNHEP, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, nama kementerian juga telah ditukar daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) kepada  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) seperti asalnya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, untuk hari pertama beliau dan  Chieng Jen akan mendengar taklimat tentang struktur, hala tuju, strategi semasa.

“Dari situ saya dan timbalan saya akan menghadam, meneliti dan di mana perlu memberikan nilai tambah dan pembaikan untuk meneruskan kelangsungan kementerian ini seperti mana fungsi utamanya.

“Saya hanya akan membuat kenyataan bersabit polisi setelah saya benar-benar memahaminya daripada taklimat-taklimat dalaman diberikan,†jelasnya.

Beliau sangat menghargai sambutan baik yang diberikan kakitangan di KPDNHEP.

“Sambutan hari ini memberikan gambaran bagaimana cerianya kementerian.

“Kami berharap suasana kondusif ini dapat dilanjutkan sepanjang saya dan timbalan memimpin kementerian,†katanya.