Ketika ini hanya ladang yang diuruskan Yayasan Coral Malaysia (YCM) di Pulau Bidong di sini mempunyai kelulusan beroperasi sebagai ladang komersial, dan ia membuka laluan untuk Jabatan Perikanan Malaysia untuk melesenkan semua premis akuarium marin di seluruh negara agar lebih terkawal.

Sebagai langkah permulaan untuk mengembangkan industri ini yang mempunyai permintaan tinggi di peringkat global, YCM dengan kerjasama Telekom Malaysia (TM) mengadakan program MyCoral: Inisiatif Pendidikan Marin bersama nelayan dan sukarelawan YCM.

Seramai 15 peserta terdiri termasuk pelajar universiti menyertai program tiga hari yang berakhir semalam di ladang terumbu karang di Pulau Bidong, untuk mendedahkan mereka peluang yang boleh dimanfaatkan dengan potensi ekonomi dalam industri ini.

Presiden YCM, Jamhariah Jaafar berkata, pihaknya dengan kerjasama Telekom Malaysia (TM) mengadakan program khusus melatih mereka agar mampu merintis laluan bagi penerokaan dalam industri aqua marin.

“YCM menerima banyak permintaan daripada beberapa syarikat antarabangsa besar berikutan keputusan Indonesia (yang menguasai 90 peratus eksport terumbu karang) menstrukturkan semula industri berkenaan bagi memastikan spesies yang dilindungi ini dikeluarkan secara penternakan yang dilesenkan,” jelas beliau di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, YCM yang masih terhad keupayaannya sedang berbincang dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk menandatangani satu lagi memorandum persefahaman atau perjanjian bagi mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang penyelidikan untuk meningkatkan kualiti penternakan.

“Juga untuk melihat peluang mengeluarkan sendiri produk hiliran bagi sistem akuarium yang selama ini perlu diimport dari luar,” tambah Jamhariah sambil menjelaskan YCM melabur kira-kira RM2 juta melalui usaha yang mula digerakkan beberapa tahun lalu.

Menururt beliau, projek ini tidak memerlukan modal yang besar dan tidak menuntut penjagaan yang khusus seperti projek ternakan lain manakala hasil boleh dituai dalam tempoh bulan sahaja, malah juga boleh dilakukan di daratan.

Sementara itu, Ketua Tanggungjawab Korporat TM, Izad Ismail berkata, TM telah menyertai progam YCM sejak tahun lalu dan seramai 20 sukarelawan YCM telah menjalani program MyCoral: Latihan Menjadi Pelatih YCM.

“TM awalnya menyertai program ini bagi tujuan pemuliharaan terumbu karang melalui penternakan dasar laut dan darat, tapi tahun ini kami bersetuju dengan cadangan YCM untuk memberi fokus terutama kepada kumpulan nelayan.

“Dalam program kali ini, kita melihat minat mendalam ditunjukkan tiga nelayan yang menjadi peserta. Kita akan berbincang dengan YCM untuk kemungkinan menjadikan mereka ini peserta angkat bagi projek ladang terumbu karang yang dilaksanakan di Pulau Bidong,” katanya. – UTUSAN ONLINE