TELUK INTAN – Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditangkap bersama dadah dianggarkan bernilai lebih kurang RM61,000 dalam serbuah di Taman Sri Bernam, Hutan Melintang, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata,  suspek berusia 30-an itu ditahan di rumahnya jam 2 petang.

“Dalam serbuan berkenaan polis  menangkap seorang lelaki warga tempatan yang tinggal berseorangan dan merampas 19 paket plastik lutsinar disyaki berisi dadah heroin dengan anggaran berat 1704.79 gram.

“Kita juga merampas  11 paket plastik lutsinar disyaki berisi dadah methamphetamine dengan anggaran berat 100.51 gram,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Marzukhi, suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaan dadah lebih kurang beberapa bulan lalu itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes narkotik.

“Ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan suspek direman sehingga 9 Julai dan akan disambung reman.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori,” katanya.