Dengan drama perpindahan mewarnai kempen pramusim, terutama pembelian besar-besaran yang dilakukan Liverpool dan kegagalan Manchester United melakukan pembelian besar, peminat EPL seluruh dunia tidak sabar untuk melihat bagaimana pasukan kegemaran mereka memberi cabaran.

Pertembungan United dan Leicester City di Old Traffod hari ini (pukul 3 pagi Sabtu waktu Malaysia) merasmikan musim baharu EPL.

Manchester City yang mengekalkan sebahagian besar tonggak musim lalu sekali lagi menjadi pilihan untuk mempertahankan kejuaraan.

Begitupun Liverpool yang membelanjakan 170 juta pound (RM885.33 juta) bagi membawa masuk Naby Keita, Fabinho, Xherdan Shaqiri dan Alisson bakal menjadi pencabar utama.

Berikut adalah jangkaan yang diberikan kepada beberapa kelab utama yang bakal bersaing sepanjang sembilan bulan, dua hari Liga Perdana musim 2018/2018 berlangsung dari 10 Ogos 2018 hingga 12 Mei, 2019.

MANCHESTER CITY

Kejayaan mengalahkan Chelsea 2-0 untuk menjulang Perisai Komuniti pada 5 Ogos lalu hanyalah amaran awal Manchester City. Skuad Citizen tidak menurunkan barisan terbaik dalam perlawanan itu berbanding ketika mencipta rekod mengutip 100 mata untuk muncul juara musim lalu.

Mengekalkan sebahagian besar tonggak, termasuk perancang utama Belgium, Kevin De Bruyne yang menjadi sasaran beberapa gergasi Eropah dan kemasukan Riyad Mahrez dari Leicester, City menjadi calon juara dan ujian pertama mereka bermula di Emirates apabila berdepan Arsenal, Ahad ini.

MANCHESTER UNITED

Jose Mourinho pengurus paling tidak gembira apabila musim baharu dibuka kerana gagal melakukan pembelian besar seperti dihajatkan dan bergantung kepada 
pemain sedia ada.

Dia juga berdepan 
isu dengan beberapa tonggak seperti Paul Pogba dan Anthony Martial yang minta dilepaskan tetapi tidak dibenarkan.

Dijangka berdepan musim sukar, namun Red Devils tetap menjadi pasukan tumpuan dengan membariskan nama besar seperti Alexis Sanchez, Ashley Young, Jesse Lingard, Marouane Fellaini dan Pogba.

Begitupun, mereka terlepas khidmat Sergio Romero, Antonio Valencia, Marcos Rojo dan Diogo Dalot dalam aksi menentang Leicester akibat kecederaan.

LIVERPOOL

Liverpool berdepan tekanan untuk menamatkan kemarau kejuaraan selepas berbelanja besar bagi membawa masuk Naby Keita, Fabinho, Xherdan Shaqiri dan Alisson.

Selepas cemerlang mara ke final Liga Juara-Juara dan menghuni tangga keempat EPL musim lalu, anak-anak buah Jurgen Klopp diberi harapan untuk meneruskan kecemerlangan, apatah lagi mengharungi pramusim yang cemerlang apabila meledak 27 gol dalam sembilan perlawanan (menang tujuh daripadanya).

Liverpool akan memulakan kempen dengan menerima kunjungan West Ham di Anfield, Ahad ini.

CHELSEA

Maurizio Sarri tiba di Stamford Bridge pada masa yang buruk apabila berdepan kemelut tonggak utama seperti Eden Hazard, Willian dan Thibault Courtois yang minta dilepaskan.

Dia berjaya mengekalkan Hazard dan Willian tetapi tidak mampu menyelamatkan Courtois yang memilih berpindah ke Real Madrid. Namun, kemasukan penjaga gol termahal dunia, Kepa Arrizabalaga dan bintang Croatia, Mateo Kovacic diharap mampu membantu Blues.

Begitupun, ketajaman jentera serangan Chelsea menjadi tanda tanya kerana penyerang utama mereka, Alvaro Morata belum cukup meyakinkan Sarri.

Kemampuan sebenar Chelsea dan Morata akan diuji apabila bertemu Huddersfield esok.

ARSENAL

Arsenal bakal dibimbing jurulatih baharu, Unai Emery. Sasaran pengendali dari Sepanyol itu cukup jelas, menempatkan Gunners dalam kelompok empat terbaik.

Memulakan musim dengan menentang City bukan hari yang yang baik buat jurulatih yang masih asing dengan saingan Liga Perdana.

TOTTENHAM

Tottenham membuat keputusan berani apabila tidak melakukan sebarang pembelian bagi menghadapi musim baharu, sebaliknya memberi tumpuan kepada pemain sedia.

Komitmen yang dijanjikan Danny Rose, Toby Alderweireld dan Mousa Dembele melegakan pengendali Spurs, Mauricio Pochettino selepas mereka dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab utama Eropah.

Kepulangan kapten England, Harry Kane daripada Piala Dunia bersama anugerah Kasut Emas (penjaring terbanyak) memberi keceriaan kepada kelab London itu untuk memulakan kempen dengan menentang Newcastle.