KUALA LUMPUR – Kementerian Luar akan menubuhkan satu majlis rundingan bertujuan membincangkan dasar dan polisi luar negara dengan melibatkan pakar dalam bidang tersebut.

Menteri berkenaan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, buat permulaan ia akan terdiri daripada kumpulan kecil antara 10 hingga 12 orang dan dipengerusikan beliau sendiri.

Ia merangkumi antara lain pegawai kementerian, bekas duta, pihak berkepentingan, pemikir dan pakar bidang antarabangsa.

“Kita juga akan ada wakil dari pihak swasta memandangkan mereka turut terlibat dengan perniagaan dan perdagangan di peringkat antarabangsa,†katanya selepas menghadiri sesi dialog berhubung integrasi kebangsaan dan perpaduan di sini hari ini.

“Anggota majlis semestinya mempunyai rangkaian masing-masing, dan saya juga jangkakan akan ada jawatankuasa Parlimen untuk dasar luar nanti,†katanya sambil menambah cadangan penubuhan jawatankuasa itu akan dibawa ke Kabinet.

Saifuddin, yang mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri semalam, menegaskan idea terbaik perlu diperoleh memandangkan dasar luar Malaysia mutakhir ini amat mustahak terutama dalam konteks kerajaan baharu sekarang.

“Satu ketika dahulu dunia melihat dasar luar negara kita sebagai sangat memberangsangkan namun sekarang banyak masalah, kita dikenali atas pelbagai punca masalah. Jadi kita kena baiki dan belajar termasuk daripada tokoh-tokoh yang berjasa,†katanya. – Bernama