Update 21:36 date 15/10/2018
HIBURAN | 12 Oct, 2018 | 00:01

Makan tak menentu dan kurang rehat punca Syafiq Farhain hilang berat badan

Berat badan Syafiq Farhain turun sebanyak lima kilogram. PENYANYI Syafiq Farhain memberitahu berat badannya turun sebanyak lima kilogram sejak menyertai program Big Stage yang berakhir bulan lalu. Syafiq, 24, berkata, penurunan itu mungkin disebabkan jadualnya yang ketat dengan aktiviti rakaman dan latihan sehinggakan dia tidak cukup tidur selain dia juga tidak menjaga pemakanannya. “Ramai juga […]

Berat badan Syafiq Farhain turun sebanyak lima kilogram.

PENYANYI Syafiq Farhain memberitahu berat badannya turun sebanyak lima kilogram sejak menyertai program Big Stage yang berakhir bulan lalu.

Syafiq, 24, berkata, penurunan itu mungkin disebabkan jadualnya yang ketat dengan aktiviti rakaman dan latihan sehinggakan dia tidak cukup tidur selain dia juga tidak menjaga pemakanannya.

“Ramai juga menegur susuk tubuh saya kelihatan kurus dan jujurnya saya tidak lakukan apa-apa pun untuk mengurangkan berat badan apatah lagi untuk bersenam kerana tiada masa.

“Mungkin disebabkan saya tidak cukup rehat dan makan pun tidak menentu kerana sejak menyertai Big Stage jadual saya memang padat,” katanya.

Jadual padat menyebabkan Syafiq kurang berehat.

Syafiq ditemui ketika berada di set penggambaran filem pertama lakonannya, Hero yang diadakan di Balai Bomba Pusat Jalan Hang Tuah di sini, Selasa lalu.

Filem terbitan NS Star Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Hisyam Hamid, Mark Adam, Bell Ngasri, Elisha Sandha, Tash Yong dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Sebuah filem aksi komedi, Hero mengangkat kisah mengenai anggota bomba dan ia dijangka menemui penonton pada tahun hadapan.

Tambah Syafiq, sejurus selepas program itu berakhir dia terus memasuki set penggambaran filem tersebut sehinggakan tiada masa untuk berehat.

“Habis sahaja Big Stage memang saya terus masuk set pula jadi masa untuk diri sendiri itu memang kurang.

Barisan pelakon filem Hero ketika berada di set penggambaran.

“Sebelum ini berat badan saya 60 kilogram tetapi sekarang cuma 55 kilogram sahaja… Mungkin ada baiknya juga, tidak perlu saya bersenam untuk kurus,” katanya.

Tambah Syafiq, dia tidak merasakan dia terlalu memaksa diri melakukan pelbagai perkara sebaliknya tidak mahu mensia-siakan peluang diberikan kepadanya.

Sementara itu, bercakap mengenai Hero, Syafiq berkata dia teruja berpeluang berlakon dalam filem arahan Azizi Chunk Adnan itu kerana ia adalah pengalaman baharu dalam karier seninya.

Malah kata Syafiq, tema filem yang mengangkat pekerjaan anggota bomba juga membuatkan dia berasa selesa berada di set kerana dia sendiri bekerja dalam bidang berkenaan.

Aksi Syafiq ketika di set penggambaran Hero.

“Menariknya adalah menerusi filem ini saya dapat lakukan banyak perkara yang belum pernah saya lakukan walaupun ini adalah pekerjaan hakiki saya.

“Ia menyeronokkan dan pada masa sama saya turut menimba pelbagai pengalaman bukan sahaja tentang lakonan tetapi kerja saya sebagai anggota bomba,” katanya.

Bagaimanapun kata Syafiq, penglibatannya sebagai pelakon bukan bererti hatinya sudah tawar terhadap nyanyian sebaliknya merasakan tidak salah untuk mencuba sesuatu yang baharu.

“Nyanyian tetap nombor satu dan di samping itu saya cuba juga perkara lain. Mana tahu menerusi lakonan akan membawa saya kepada bidang lain pula selepas ini,” jelasnya.

http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2018/10/12/syafiq-farhain
® Selamat datang ke Saluran. Berita Terkini/ Maklumat yang dikemukakan di sini diambil dari sumber yang boleh dipertanggungjawabkan
KOMEN ANDA