KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus kekal sebagai sebuah negara yang mesra perniagaan dan tidak akan mengamalkan rasuah demi menarik lebih banyak aliran masuk pelaburan langsung asing dan domestik.

Malah, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan baharu pimpinan beliau akan turut mempertingkatkan amalan anti-rasuah bagi memastikan persekitaran perniagaan yang bersih serta adil.

Pada masa sama, kerajaan juga dalam usaha menghidupkan semula Dasar Persyarikatan Malaysia atau Malaysia Incorporated untuk memperkukuhkan jalinan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta.

“Ini adalah kerajaan baharu dan akan bersifat mesra perniagaan. Kerajaan ini tidak akan mengamalkan rasuah. Saya tahu ada segelintir ahli perniagaan yang bimbang jika mereka berurusan dengan seorang perasuah atau korup, mereka berkemungkinan turut menjadi mangsa tindak balas individu itu atau rakan sekerjanya.

“Kita akan melindungi anda daripada sebarang bentuk tindak balas (sedemikian). Kita mahukan kerajaan yang bersih dan dan saya yakin anda semua pun mempunyai keinginan sama,†katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat agung tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) ke-72, di sini hari ini.

Konsep Persyarikatan Malaysia yang diperkenalkan Malaysia pada 1981 antara lain berteraskan kepercayaan bahawa pertumbuhan ekonomi dan pembangunan menyeluruh negara ini dapat dilonjakkan menerusi kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta.

Selain itu, Dr Mahathir turut menegaskan bahawa Malaysia sama sekali tidak akan menolak pelaburan langsung asing kerana turut membabitkan rekaan dan produk baharu yang tidak diketahui oleh negara ini.

“Hari ini, kita melihat banyak kilang di Malaysia yang dapat ditubuhkan, dimiliki serta dikendalikan oleh  rakyat negara ini tanpa sebarang pelaburan asing. Namun, kita masih perlukan pelaburan asing kerana wujudnya teknologi baharu yang dibangunkan dan perlu dikuasai jika kita mahu bersaing dengan negara-negara lain,†katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga kini dalam proses pemulihan dan memerlukan masa bagi mengubah sepenuhnya kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini. -Bernama