PUTRAJAYA – Pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803) adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan media mempunyai kebebasan menjalankan proses semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, pemansuhan itu bukan satu tindakan tergesa-gesa sepertimana dakwaan Anggota Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said sebaliknya dibuat kerana kerajaan berpandangan perundangan sedia ada sudah memadai untuk menangani masalah berita palsu.

“Tindakan tegas masih boleh diambil mengikut undang-undang sedia ada terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu.

“Malah, pemansuhan akta itu juga akan memberi kebebasan kepada rakyat untuk bersuara, tertakluk kepada undang-undang sedia ada,†katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ia bagi menyangkal kenyataan dibuat Azalina melalui akaun Facebook bekas menteri di Jabatan  Perdana Menteri itu pada 9 Ogos lepas yang mendakwa langkah memansuhkan akta itu bersifat tergesa-gesa.

Menurut Vui Keong, penggubalan Akta 803 itu oleh kerajaan terdahulu sebenarnya telah dibuat dalam keadaan tergesa-gesa tanpa rundingan dan perbincangan menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan sehingga mendapat tentangan pelbagai pihak, khususnya pihak media selain reaksi negatif daripada rakyat.

Pada 8 Ogos lepas, Vui Keong membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar itu bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi pemansuhan akta berkenaan disebabkan perubahan dasar kerajaan bahawa berita tidak benar boleh ditangani di bawah undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

RUU itu juga menyatakan apa-apa penyiasatan, pendakwaan atau prosiding berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang belum selesai di bawah akta yang dimansuh, boleh diteruskan seolah akta itu masih berkuatkuasa.

Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga enam tahun diwartakan kerajaan terdahulu pada April tahun ini.- Bernama