SELAMA – Sudah tiba masanya semua parti Melayu dan peribumi negara ini mengenepikan perbezaan politik bersatu bagi menumbangkan kerajaan Harapan pada masa depan.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, saranan itu dibuat susulan kerajaan Harapan pada masa kini dilihat tidak mampu menjaga kepentingan hak istimewa kaum Melayu dan peribumi negara ini serta agama Islam seperti terkandung dalam Perlembagaan.

Menurutnya, penyatuan semua parti Melayu dan peribumi itu mampu memastikan satu pakatan politik lebih mantap dapat dibentuk bagi mengambil semula kerajaan Pusat di bawah Harapan yang kini dilihat terlalu cenderung mengikut telunjuk DAP.

“Hari ini pun kita dikejutkan dengan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mendakwa pada realitinya BN kini sudah mati dan hanya tinggal pada nama sahaja.

“Pada saya, kita akan tunggu dan lihat (keputusan MCA) sama ada mereka akan keluar dari BN atau tidak pada masa depan.

“Sekiranya mereka bertindak demikian, kita kena memikirkan langkah terbaik untuk meneruskan survival parti dan saya setuju sudah tiba masanya semua parti Melayu berpakat pada masa depan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda Umno Bahagian Larut, Khairul Anuar Din, Ketua Wanita Umno bahagian, Saliza Ahmad dan Ketua Puteri Umno bahagian, Norazira Abdul Rahman.

Muhammad Amin berkata, secara peribadi, pihaknya melihat keputusan MCA menggunakan logo parti sendiri dan enggan menggunakan logo BN pada PRK Balakong sudah dijangka.

Menurutnya, tindak-tanduk beberapa komponen BN berubah pendirian atau keluar dari pakatan itu terutama  komponen dari Sabah dan Sarawak ketika ini sebenarnya sudah dapat dikesan sebelum PRU14.

“Antara petanda diberikan mereka sebelum ini adalah sering berdalih dengan memberi pelbagai alasan apabila diminta bergerak seiring dengan Umno dalam melaksanakan sesuatu agenda politik.

“Selain itu, kebanyakan komponen dalam BN termasuk MCA juga dilihat cuba untuk kurang melibatkan diri dalam program membabitkan BN dan apa sahaja tindakan Umno buat kurang menerima sambutan mereka.

“Kita hendak tengok sama ada mereka masih benar-benar hendak kekal bersama kita atau sebaliknya, namun jika keluar sekalipu  kita akan nilai semula kesan keputusan itu terhadap survival politik Umno,” katanya.

Berbalik kepada seruan semua parti politik Melayu dan peribumi di negara ini perlu bergabung, Muhammad Amin menegaskan inisiatif itu perlu dipandang serius semua pihak terlibat dan segala perbezaan fahaman politik sesama mereka perlu diketepikan serta-merta.

Menurutnya, keputusan besar itu penting bagi memastikan segala kerosakan dilakukan kerajaan baharu Harapan terutama dalam isu kepentingan melayu dan Islam dapat dibendung dari terus membarah.

“Saya nampak usaha penyatuan semua parti Melayu di negara ini boleh dimulakan sama ada di peringkat tertinggi parti atau peringkat akar umbi.

“Paling penting semua pihak sanggup menjalinkan kerjasama politik demi menggalas dua agenda lebih besar, mempertahankan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta mendaulatkan kesucian agama Islam,” katanya.