KUALA NERANG – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dengan kerjasama pengurusan masjid daerah mengadakan pusat penempatan bekalan makanan di Padang Terap.

Pegawai Pejabat LZNK Padang Terap, Ilyas Ibrahim berkata, pihaknya telah memilih sebanyak sembilan dari 34 masjid di daerah itu bagi menjadi pusat penempatan bekalan makanan.

Katanya, pusat penempatan bekalan makanan itu diwujudkan bagi membantu penduduk yang miskin di daerah itu dengan disalurkan barangan keperluan asas.

“Pihak kami telah melantik sembilan masjid di daerah ini bagi mengagihkan barangan keperluan itu kepada mereka yang layak menerimanya. Masjid yang dilantik itu ialah Masjid Tandop Besar, Masjid Lubuk Merbau, Masjid Kampung Masjid, Masjid Tong Pelu, Masjid Padang Cenderai, Masjid Tanjung Kiri, Masjid Bendang Raja, Masjid Kampung Tengah dan Masjid Pulau Kijang.

“Bagi mereka yang ingin memohon bantuan itu perlu berjumpa dengan imam masjid supaya menerima kupon bagi mengambil set bantuan makanan. Setiap bulan pihak LZNK memperuntukkan sebanyak 30 set bagi setiap masjid itu,†katanya.

Menurut Ilyas, sumbangan bantuan makanan itu diperuntukkan kepada mereka  yang terputus bekalan makanan terutamanya semasa tidak dapat menoreh getah pada musim hujan.