KOTA BHARU – Mayat yang dijumpai dalam rumah pam loji kumbahan Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jalan Tok Hakim seminggu lalu, masih belum dituntut waris.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, polis sudah mengambil sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti lelaki berusia lingkungan 50-an terbabit.

Menurutnya, DNA diambil Jumaat lalu dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia di Cheras, Selangor.

“Ketika ini kita masih menunggu keputusan ujian berkenaan dan mayat masih ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik HRPZ II (Hospital Raja Perempuan Zainab II).  

“Hari ini masuk hari ketujuh mayat ditemui dan belum dituntut oleh waris mahupun ahli keluarga mangsa,†katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mayat reput berulat dalam stor pam kumbahan]

Beliau berkata, waris atau orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di talian 09-7752200 atau Balai Polis Kota Bharu 09-7485522.