IPOH – Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail mengesahkan dirinya calon Speaker Dun Perak bagi Harapan bagi penggal ke-14 selepas borang pencalonan dihantar oleh PKR pada 26 jun jam 5 petang.

Bagaimanapun, pada jam 8.32 pagi tadi beliau memaklumkan hadir ke Pejabat Setiausaha Dewan Negeri untuk menandatangani surat penarikan diri dari pencalonan tersebut.

Menerusi kenyataan kepada media hari ini, Siti Aishah memaklumkan, keputusan awal untuk menerima pencalonan tersebut dibuat atas kefahaman PKR harus diberikan jawatan itu memandangkan DAP mempunyai lima jawatan Exco bagi kerajaan negeri.

Katanya, perundingan bagi menentukan calon Speaker untuk Harapan berlaku hingga pada hari terakhir semalam memaksanya membuat keputusan menarik diri.

“Sebagai pemimpin muda dalam Keadilan telah menjadi asas pembelajaran politik kami bahawa jawatan dan kuasa bukanlah sandaran utama jika rakyat terpaksa menjadi galang gantinya.

“Atas sebab itu bagi memastikan kerajaan ini yang dipilih oleh rakyat terus berkhidmat dan berjalan seperti biasa, maka saya mengambil keputusan akur dan menarik diri,†katanya dalam kenyataan tersebut.

Menurutnya, tindakan itu juga memastikan undi Dun secara penuh diberikan kepada hanya satu calon dari Harapan bagi mengelak calon dari BN menjadi Speaker.

Sementara itu, Siti Aishah yang juga Ketua Penerangan PKR Perak turut mengakui membuat teguran kepada pimpinan Harapan menerusi laman Facebooknya dalam isu pencalonan Speaker tersebut.  

“Jujurnya teguran saya di FB ialah teguran terbuka untuk kepimpinan agar budaya semangat berpasukan harus benar-benar dilaksanakan.

“Budaya monopoli kuasa harus tidak lagi diamalkan dalam Pakatan Harapan dan sewajarnya rasa hormat kepada pimpinan yang lain dipraktikkan,†katanya.

Sementara itu, dalam teguran yang dibuat itu mendedahkan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail telah mengeluarkan surat memaklumkan semua pengerusi parti komponen Harapan di Perak memberi ruang kepada PKR bagi mengisi jawatan Speaker tersebut.

Bagaimanapun katanya, rombongan DAP diketuai Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bersetuju memberikan jawatan Speaker kepada DAP dan memaksanya menarik diri.

“Terlalu panjang kronologi yang nak saya tuliskan bagaimana presiden parti mengeluarkan surat memaklumkan kepada semua pengerusi parti di Perak untuk memberikan ruang buat Keadilan namun yang angkuh tetap angkuh.

“Saya mungkin bukan ahli politik tua yang hebat dalam politik kononnya tetapi saya pemimpin muda yang diajar untuk tidak rakus dan mementingkan diri sendiri. Kini saya lebih kenal dengan siapa saya berkawan dan lawan,†katanya.

Menurut Siti Aishah, beliau menerima keadaan itu sebagai suatu proses untuk perjalanan politiknya dan bersyukur kerana berjaya melepasinya.