Buat pertama kalinya di negeri ini, sebatan terhadap pasangan kekasih lesbian yang mengaku cuba melakukan hubungan seks sejenis dilaksanakan, dalam menguatkuasakan hukuman takzir di bawah perundangan syariah.

Namun di luar negeri,  ia menjadi cukup geger, bagaikan sebatan itu menyentak masyarakat dunia, dengan pelbagai persepsi negatif, yang membidas, menyelar, menghina malah menggertak ekoran keputusan dan tindakan yang diambil oleh mahkamah.

Tentunya menjadi cetusan kesalan dan kemarahan para pengamal bersama mereka yang bersimpati, dalam kalangan mereka yang kononnya memperjuangkan hak asasi, dan juga yang berfahaman liberal  kerana menyifatkan suatu penganiayaan, kekejaman, kezaliman  apabila berkait dengan perlakuan dosa peribadi dan hak asasi.

Ironinya juga langkah itu turut tidak disenangi oleh kalangan pemimpin Islam dan parti pemerintnah di negara ini yang menganggap memberikan gambaran buruk terhadap Islam kerana didakwa dilakukan tanpa nasihat dan timbang rasa  terlebih dahulu.

Hukuman sebegitu bukanlah yang pertama negara ini, cuma kebetulan dilakukan semasa perdebatan umum semakin hangat apabila semakin lantang kedengaran suara membela hak,  kebebasan  dan nasib kalangan pengamal Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di negara ini.

Penerimaan corak kehidupan bertentangan dengan fitrah manusia dan tuntutan agama  makin menular di negara ini tanpa berselindung lagi malah cuba dimegah-megahkan semakin merasuk pemikiran kalangan masyarakat kini.

Kebebasan dalam Islam datang dengan tanggungjawab kerana kebebasan bukan keistimewaan melakukan apa sahaja, dan Mahkamah Tinggi Syariah dengan kuasa yang ada telah bertindak bersama mencegah kemungkaran sebagaimana yang dituntut.

Selain masing-masing didenda RM3,300, pelaksanaan enam sebatan mengikut syariah terhadap pasangan lesbian itu sebenarnya lebih ringan berbanding hukuman sebat dilakukan guru disiplin di sekolah, apatah lagi jika mahu disamakan dengan sebatan pesalah kes sivil.

Ada beberapa pihak termasuk bukan Islam turut menyaksikan prosiding sebatan tersebut dijalankan dan mereka boleh menilai sendiri perbezaan pengamalannya, apabila tidak terdengar degus, keluh kesakitan semasa menerima hukuman itu.

Sekadar linangan air mata salah seorang pesalah selepas selesai menjalani proses hukuman setelah mereka berdua tidak membuat rayuan agar hukuman yang sebenarnya sudah cukup ringan berbanding beratnya dosa perlakuan itu, diringankan lagi.

Umumnya dalam kalangan 100 yang hadir menyaksikan,  tidak mengenali nama dan siapa kedua-dua pesalah itu, malah media juga tidak memaparkan identiti mereka dengan jelas. 

Pelaksanaan hukuman  terhadap pelaku-pelaku ternyata bukanlah untuk mencederakan atau memalukan di khalayak ramai, ternyata untuk menyedarkan mereka teladan kepada kalangan yang lain.

Selepas ini difahamkan ada lagi hukuman sebatan syariah yang akan dikenakan kepada pesalah membabitkan seorang wanita yang menjadi pelacur dan lelaki yang bertindak sebagai ‘bapa ayam’, dan tentunya akan terus disensasikan.

 Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyimpulkan bahawa hukuman yang berlaku dalam tempoh lima minit pada hari tersebut telah menghantar satu gelombang getar ketakutan, menimbulkan kegerunan dalam hati masyarakat dunia.

“Lihatlah dengan mata hati dan bukannya dengan tanggapan dan luapan emosi. Namun di sini, di negeri Darul Iman,  bukan tempatnya bagi mereka untuk sewenang-wenangnya melakukan amalan songsang, suatu dosa yang memalukan dan perlu dicecah,” ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah pula menengaskan kerajaan negeri tidak mahu bercakap mengenai hak asasi manusia sekiranya hak Allah terlebih dahulu dicabul. 

“Mana mungkin kita mengagungkan hak hamba ketika hak tuan kepada hamba itu diinjak-injak. Suka diingatkan bahawa yang harus kita marah dan benci ialah perbuatan dosa itu sendiri,” ujarnya.

Dengan serangan bertalu-talu terhadap kuasa perundangan syariah, dan penerapan Islam dalam pelbagai aspek kehidupan mungkin  merupakan salah satu bentuk untuk cuba menafikan  kedudukan Islam di negara ini malah
sudah kedengaran desakan agar perundangan syariah di negeri-negeri
dikaji semula.

Sultan Terengganu ketika bertitah dalam majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri kelmarin
menyatakan kebimbangan, dan menyifatkan sebagai ujian bagi umat Islam yang benar-benar menuntut kepada pengukuhan perpaduan.

Dan ketika Muktamar Pas bakal berlangsung di sini, parti itu bersama seluruh ahlinya dapat menilai perimbangan antara kepentingan politik meraih kuasa dan perjuangan untuk terus menegakkan agama serta bangsa yang makin condong dalam landskap politik baharu makin murung. Di sini perlu menjadi titik mula yang baharu. – UTUSAN ONLINE