Update 14:02 date 18/07/2018
SUKAN | 12 Jul, 2018 | 13:04

Mengimbau pemergian Supermokh

Tiga legenda. Mokhtar bersama R Arumugam dan Soh Chin Aun sebelum aksi Pestabola Merdeka 1980an. SEMALAM kita terlalu sibuk dengan kisah separuh akhir Piala Dunia, England lawan Croatia hingga terlupa satu perkara yang sangat tragis buat bola sepak negara – pemergian penyerang prolifik, Mokhtar Dahari jam 8.25 pagi 27 tahun lalu. Sebenarnya, hanya ada tiga […]

Tiga legenda. Mokhtar bersama R Arumugam dan Soh Chin Aun sebelum aksi Pestabola Merdeka 1980an.

SEMALAM kita terlalu sibuk dengan kisah separuh akhir Piala Dunia, England lawan Croatia hingga terlupa satu perkara yang sangat tragis buat bola sepak negara – pemergian penyerang prolifik, Mokhtar Dahari jam 8.25 pagi 27 tahun lalu.

Sebenarnya, hanya ada tiga tarikh keramat untuk mengingati sukan bola sepak di negara kita:2 Oktober 1971 Malaysia layak ke Sukan Olimpik Munich 1972; 6 April 1980 Malaysia mengesah tempat ke Sukan Olimpik Moscow; 11 Julai 1991 SuperMokh meninggal dunia akibat serangan saraf ‘Motor Neuron Diseaseas’ (MND).

MND adalah sejenis penyakit amat jarang berlaku. Ia berkaitan serangan sistem saraf dan otot menyebabkan mangsa lemah, terlalu lemah hingga percakapan menjadi kabur. Pergerakan tubuh tidak berfungsi baik. 

Semuanya kaku dan beku!Ketika saya menjadi wartawan sukan di Utusan Melayu, tugas saya lebih tertumpu kepada badminton. 

Ini menjadikan saya lebih rapat dan mengenali Misbun Sidek lima bersaudara serta rakan-rakannya yang memenangi Piala Thomas 1992 di Kuala Lumpur.

Namun demikian kerana kekurangan kakitangan, saya sering diminta membantu membuat liputan bola sepak. 

Saya bersama legenda Korea Selatan, Kim Jae Han yang membuat liputan untuk TV KBC sebelum perlawanan. – Gambar oleh Ayub Tahir

Mungkin saya tidak rapat dengan Mokhtar tetapi ada satu peristwa sukar saya lupakan.

Tarikhnya 19 Mei 1985, secara tidak sengaja, saya dan Mokhtar berkongsi bangku bas pemain dalam perjalanan pulang dari Stadium Chamsil menuju Hotel Shilla di tengah kota Seoul, Korea Selatan.

Mokhtar sebenarnya sudah pun bersara daripada arena antarabangasa lama sebelum itu. 

Walaupun tidak lagi bersama skuad kebangsaan, Mokhtar kekal menyinar bersama Selangor membawa Gergasi Merah Kuning ke final Piala Malaysia empat musim berturut-turut sejak itu, tiga daripadanya muncul juara.

Memandangkan Malaysia akan berdepan Korea Selatan dalam aksi penentu untuk ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 1986, khidmat dan pengalamannya sangat ditagih.

Mokhtar bersetuju keluar dari persaraan untuk membantu memandangkan Malaysia berpeluang mara selepas menang perlawanan pertama 1-0 di Kuala Lumpur.

Selepas tamat perlawanan, saya membuat keputusan menumpang bas pemain kerana tambang teksi agak mahal dan saya pun tak tahu jalan pulang.

Ketika saya menaiki bas, semua tempat duduk penuh kecuali satu di bahagian depan. 

Saya terus duduk tapi bas tidak segera bergerak kerana pembantu pemandu beri isyarat ada seorang lagi penumpang.

Beberapa minit kemudian, Nampak kelibat Mokhtar. Dia naik dan terus duduk di sebelah saya. Berderau juga dibuatnya.

Perjalanan yang seharusnya singkat, memakan masa begitu lama kerana Seoul ketika itu pesat membangun. 

Laluan banyak ditutup, sibuk menyiapkan prasara sebagai tuan rumah Sukan Asia 1986 dan Sukan Olimpik 1988.

Mokhtar.

Sepanjang perjalanan membosankan itu, semua pemain tenggelam dalam kekecewaan selepas ditewaskan Korea Selatan 2-0.

Selepas beberapa ketika, saya memberanikan diri memulakan perbualan. 

Saya bertanya, lepas ini masih nak main untuk negara ke? Dalam wajah suram sesekali nampak bengis, Mokhtar memberi reaksi: ‘Cukuplah, letih, umur pun dah banyak.

’Kami berbual dalam pelbagai isu selepas itu dan saya mula memahami lebih mendalam siapa Mokhtar juga imbasan wajah bola sepak kita yang dilaporkan berada dalam genggaman bookie.

Mokhtar bersara terus selepas itu termasuk menanggal jersi Merah Kuning pada 1987 selepas final Piala Malaysia.

Tahun berikutnya, bermulalah perjalanan hari-hari terakhir seorang legenda. Berpunca daripada hanya sakit tekak, ia kemudian disahkan menghidap MND yang tiada penawarnya ketika itu.

27 tahun berlalu tetapi bagi peminatnya, Mokhtar Dahari tidak pernah mati. Dia terus hidup dalam setiap denyut nadi bagi generasi bola sepak sebelum ini. Al Fatihah!!

http://www.mstar.com.my/sukan/bola-sepak/2018/07/12/supermokh
® Selamat datang ke Saluran. Berita Terkini/ Maklumat yang dikemukakan di sini diambil dari sumber yang boleh dipertanggungjawabkan
KOMEN ANDA