Update 19:59 date 17/08/2018
SUKAN | 10 Aug, 2018 | 21:30

Mourinho ‘kembali senyum’ United dapat tiga mata

MANCHESTER United merakam kemenangan pertama pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris selepas menundukkan Leicester City 2-1 di Old Trafford sebentar tadi. Gol pertama perlawanan hadir seawal minit ke-2 apabila pengadil menghadiahkan penalti kepada United selepas bola terkena tangan pertahanan Leicester City. Kapten United, Paul Pogba yang ditugaskan mengambil sepakan penalti itu mudah menewaskan Kasper Schmeichel […]

MANCHESTER United merakam kemenangan pertama pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris selepas menundukkan Leicester City 2-1 di Old Trafford sebentar tadi.

Gol pertama perlawanan hadir seawal minit ke-2 apabila pengadil menghadiahkan penalti kepada United selepas bola terkena tangan pertahanan Leicester City.

Kapten United, Paul Pogba yang ditugaskan mengambil sepakan penalti itu mudah menewaskan Kasper Schmeichel untuk meletakkan pasukannya di depan.

Tersentak dengan gol awal itu, Leicester City mula merencana serangan bertali arus untuk mencari gol penyamaan.

Hasilnya, pelawat mendapat peluang terbaik pada minit ke-29 hasil situasi kucar-kacir di kawasan penalti tuan rumah.

Namun, penjaga gol United, David De Gea telah melakukan penyelamatan luar biasa apabila berjaya menepis sepakan padu James Maddison.

Selepas itu, pelawat terus menguasai permainan, sementara United dilihat lebih banyak bertahan dan menerapkan taktikal serangan balas.

Keputusan 1-0 memihak United kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, perlawanan tampak lebih seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Alexis Sanchez bergandingan dengan Romelu Lukaku yang masuk menggantikan Marcus  Rashford berjaya melakukan beberapa percubaan berbahaya ke kubu pelawat, namun gagal menemui penyudah berkesan.

Bagaimanapun, Luke Shaw berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-83 apabila menyudahkan hantaran Juan Mata untuk meletakkan United selesa mendahului 2-0.

Sedang perlawanan dilihat berakhir dua gol tanpa balas, Leicester berjaya memperoleh gol saguhati di masa tambahan hasil jaringan penyerangnya, Jamie Vardy.

Gol itu bagaimanapun tidak cukup untuk pelawat membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata apabila pengadil meniupkan wisel penamat.

Tiga mata penting buat United ini pastinya menggembirakan pengurusnya, Jose Mourinho yang sebelum ini kelihatan tertekan kerana gagal mendapatkan pemain baharu yang diinginkannya pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Selepas ini, United bakal berdepan Brighton & Hove Albion di gelanggang lawan pada 19 Ogos nanti.

Komen anda

http://www.sukansinar.com/mourinho-kembali-senyum-united-dapat-tiga-mata/
® Selamat datang ke Saluran. Berita Terkini/ Maklumat yang dikemukakan di sini diambil dari sumber yang boleh dipertanggungjawabkan
KOMEN ANDA