KUALA LUMPUR – Selepas potretnya di sebuah pameran bertemakan kemerdekaan diturunkan, aktivis sosial, Nisha Ayub melahirkan rasa kecewa.

Nisha yang merupakan seorang transgender menyifatkan tindakan tersebut tidak selari dengan semangat Malaysia Baharu.

Pengasas bersama Pertubuhan Pembangunan Kebajikan dan Persekitaran Positif Malaysia (Seed Foundation) itu turut mempersoalkan sama ada golongan sepertinya tidak boleh menunjukkan kecintaan kepada negara.

“Mereka bercakap mengenai hak sebagai warganegara Malaysia tetapi mereka menafikan orang seperti saya menyatakan cinta kepada negara kita sendiri. Apa yang berlaku di Malaysia Baharu kita?

“Adakah ini yang kami masyarakat terpinggir undi? Mereka bercakap mengenai sensitiviti sesetengah kumpulan tetapi bagaimana dengan sensitiviti orang lain? Bukankah kami sebahagian daripada sistem itu?,†katanya dalam laman Facebooknya hari ini.

Selain Nisha, potret seorang lagi aktivis LGBT, Pang Khee Teik turut diturunkan daripada pameran ‘Stripes and Strokes’ yang berlangsung di Festival George Town (GTF) 2018.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mujahid mengaku arah potret aktivis LGBT diturunkan]

Menurut Nisha, sebagai rakyat Malaysia, beliau ingin tahu pendirian Malaysia Baharu terhadap golongan minoriti sepertinya.

“Adakah saya minta gambar saya dipamerkan di pameran itu? Tidak, tetapi saya gembira menjadi sebahagian daripada pameran itu untuk menyatakan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.

“Tapi kini saya rasa seperti tidak lagi dialu-alukan di negara di mana saya dilahirkan,†katanya.