KUCHING – Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan lapan lelaki warga Indonesia kerana melakukan beberapa kesalahan dalam dua operasi berasingan di Bandar Mutiara, Tebedu, dekat Serian, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 11, Superintendan Rosdi Inai berkata tangkap dilakukan sepasukan 14 anggota diketuai Asisten Superintendan Mohd Mazlan Mohd Ariff ketika melaksanakan Op Batas di sekitar kawasan tersebut.

“Tangkapan pertama melibatkan tujuh lelaki berumur antara 27 dan 44 tahun kira-kira 7.15 pagi.

“Pemeriksaan mendapati lima daripadanya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah, manakala dua lagi memiliki dokumen perjalanan yang tamat tempoh,†katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pasukan sama kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut di kawasan itu sebelum membuat tangkapan kedua melibatkan seorang lelaki berumur 27 tahun yang juga memiliki dokumen perjalanan tamat tempoh.

“Ketika tangkapan dibuat, dia juga gagal memberi penjelasan berkenaan wang tunai RM3,075, tujuh unit telefon bimbit, tiga bentuk subang, seutas rantai leher dan sebentuk cincin bersamanya yang disyaki diperoleh dengan cara salah.

“Berikutan itu lelaki tersebut ditahan bersama barangan yang dirampas bernilai kira-kira RM6,500 mengikut Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah,†katanya.

Rosdi berkata kesemua lapan lelaki yang ditahan itu diserahkan ke Balai Polis Tebedu untuk tindakan lanjut. – Bernama