Pameran Latiff Mohidin: Pago Pago (1960–1969) pertama kali dipamerkan pada Februari lalu di Pusat Pompidou yang dibangunkan oleh kurator Shabbir Hussain Mustafa dari NGS dan Catherine David dari Pusat Pompidou.

Pameran ini dilihat sebagai lanjutan daripada tinjauan inovatif Reframing Modernism: Painting from Southeast Asia, Europe and Beyond, yang telah berlangsung di NGS pada 2016.

Ia memfokuskan kepada momen penting kerjaya salah seorang modernis unggul Asia Tenggara – Latiff Mohidin, dan siri karya berpengaruh beliau Pago Pago, yang dihasilkan pada 1960-an, dekad yang menandakan perubahan besar antara Asia dan Eropah.

Di Pusat Pompidou, pameran diadakan di galeri ‘in-focus’, sebuah ruang bersebelahan galeri himpunan tetap dengan tujuan untuk menerbitkan dialog silang budaya antara Eropah dan Asia Tenggara. Ini merupakan pameran ulung artis dari Asia Tenggara di Pusat Pompidou.

Pengarah Galeri Ilham, Rahel Joseph menyatakan, “kami berbesar hati dengan kerjasama National Gallery Singapore dan Centre Pompidou untuk mempersembah pameran terulung ini di Ilham.

“Latiff Mohidin adalah salah seorang artis dan penyajak terkemuka Malaysia diberi penghormatan terbesar sebagai artis pertama dari Asia Tenggara untuk mengadakan pameran solo di Centre Pompidou.

“Kami amat berbangga dapat membawa pameran ini ke tanah air untuk tatapan pengunjung di Malaysia dan berharap dapat menjana dialog antara disiplin.

“Kami juga berkerja rapat bersama kurator untuk mengetengahkan sebuah filem yang kurang dikenali bertajuk Kalau Kau Mahu yang dihasilkan mengenai Latiff Mohidin pada tahun 1976.

Dalam usaha mendekati pelajar, pameran ini juga menyediakan zon bacaan dari buku-buku Latiff Mohidin.”

Ilham merupakan sebuah galeri seni awam yang beriltizam untuk mendokong usaha ke arah perkembangan, pemahaman serta penghayatan seni moden dan kontemporari Malaysia dalam konteks serantau dan antarabangsa.

Ilham bertekad menarik pembabitan pelbagai jenis khalayak dan menjadi sumber serta wadah sama ada bagi mereka yang terlibat dalam seni mahupun bagi yang menganggap seni sebagai suatu pengalaman baharu.