KUALA LUMPUR – Ahmad Fadhli Shaari (Pas- Pasir Mas) meminta pengesahan Tony Pua (DAP-Damansara) sama ada Pas menerima dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, berdasarkan ucapan Pua, beliau hanya menyebut BN tetapi tidak Pas, berhubung penerimaan dana itu.

Jadi beliau mahu kepastian bahawa Pas tidak dikaitkan dengan isu penerimaan dana berkenaan.

“Setujukah Damansara (Pua) jika saya katakan bahawa Pas merupakan parti tak terima dana 1MDB berdasarkan data yang ada,” katanya ketika mencelah perbahasan Pua di Dewan Rakyat petang ini.

Menjawab persoalan ini, Pua berkata, “Saya tiada maklumat, saya minta menteri jawab,” katanya agar soalan itu diajukan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

[ARTIKEL BERKAITAN: Nafi terima dana Umno, Pas sedia ambil tindakan saman]

Sebelum itu, Pua dalam perbahasannya ada menyatakan bahawa terdapat dana 1MDB yang disalurkan kepada parti komponen BN.

“Jumlah wang 1MDB yang disalurkan kepada parti MIC sebanyak RM 20 setengah juta.

“Pulangkan semua wang ini kepada kerajaan malaysia , tolonglah parti-parti BN yang terima dana  daripada 1MDB pulangkan pada kerajaan biar hurang 1MDB dapat diturunkan,” katanya.

Pas sebelum ini beberapa kali menafikan pihaknya ada menerima dana 1MDB.

Antaranya, menafikan tuduhan bahawa parti itu menerima dana RM90 juta daripada Umno melalui akaun Affin Bank.