Saham syarikat-syarikat pembinaan yang terlibat dalam projek berkenaan juga melonjak, de­ngan George Kent Malaysia Bhd. (George Kent) mencatat peningkatan 20 sen kepada RM1.29 sesaham.

Dua lagi syarikat iaitu Gamuda Berhad (Gamuda) meningkat 23 sen kepada RM3.38 sesaham dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) pula meningkat 16 sen kepada 74 sen sesaham.

Pada 2015, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melantik MRCB dan George Kent sebagai rakan penyampai projek (PDP) dengan peruntukan pembinaan diluluskan sebanyak RM9 bilion.

LRT3 merupakan projek pertama di bawah Prasarana yang dilaksanakan berasaskan model PDP setelah kejayaan projek Transit Aliran Massa Lembah Klang (KVMRT).

Secara dasarnya, PDP diperkenalkan pada 2012 bagi pembinaan projek KVMRT yang diberikan di bawah kerjasama antara MMC Corp. Bhd. dan Gamuda.

Semalam, mesyuarat Kabinet telah meluluskan penerusan projek LRT3 dengan kos akhir yang berjumlah RM16.63 bilion, iaitu 47 peratus lebih rendah berban­ding kos asal, RM31.65 bilion sekali gus menjimatkan RM15.02 bilion wang rakyat.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kos keseluruhan itu termasuk tetapi tidak terhad kepada kos Pakej Kontrak Kerja (WPC), kos pengambilan tanah, kos pengurusan projek, fi perun­dingan, kos operasi, kos overhead, faedah pinjaman semasa pembinaan (IDC) dan kos-kos lain yang berkaitan.

Projek LRT3 sepanjang 37 kilometer merupakan projek yang amat kritikal bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas, khusus­nya dalam arus pembangunan ekonomi yang pesat dan kepadatan penduduk di sekitar kawasan Lembah Klang.

Jajaran LRT3 adalah penting kerana ia menawarkan perkhidmatan LRT bagi kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk seramai dua juta orang di sepanjang koridor jajaran dan dapat menampung kapasiti seramai 36,700 penumpang sejam sehala.

Kerajaan sebelum ini telah membatalkan projek Laluan Tiga MRT (MRT3) manakala Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) ditangguhkan dan Laluan Rel Pantai Timur masih belum mencapai kata putus.

Keputusan kerajaan itu menyebabkan pasaran saham ber­depan situasi terburuk di rantau ini pada 30 Mei lalu hampir me­nyamai kejadian pada Oktober 2008 dengan kesan paling teruk menimpa syarikat-syarikat yang terlibat dalam projek HSR.

Ia menyaksikan indeks FBM KLCI ditutup pada 1,719 mata selepas menyusut 56.56 mata de­ngan kaunter paling terjejas te­ruk, antaranya Gamuda menyusut 95 sen kepada RM3.18 sesaham manakala MRCB susut 11.5 sen kepada 57 sen sesaham.

Bagi prestasi ringgit pula, mata wang itu ditutup pada paras RM4.0390 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada RM4.0290 ketika ditutup semalam.

Ringgit pagi ini dibuka rendah pada RM4.0450 berbanding dolar AS berikutan jangkaan satu lagi pusingan tarif akan dikenakan AS ke atas barangan China.

Jumaat lalu, Presiden AS, Do­nald Trump melancarkan perang perdagangan global ke atas China apabila mengenakan tarif import bernilai AS$34 bilion (RM137.31 bilion), yang pastinya akan di­serang balas oleh China.

AS juga akan mengenakan satu lagi tarif bernilai AS$16 bi­lion (RM64.62 bilion) dalam tempoh dua minggu lagi, menjadikan kese­luruhan nilai tarif ke atas China kemungkinan mencecah lebih AS$550 bilion (RM2.22 trilion), melebihi jumlah barang import AS dari China pada tahun lalu.