SEPANG – Daerah Sepang dilihat mempunyai potensi besar untuk pembangunan dan ia perlu dilaksanakan dengan cermat bagi memastikan rakyat dan negeri ini mendapat manfaat sebaiknya.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hari ini Sepang adalah antara daerah yang paling rancak membangun dan berjaya menarik pelabur luar untuk melabur dalam pelbagai sektor.

“Lokasi dan kedudukan Sepang juga dilihat amat strategik, dengan adanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang terletak di sini.

“Ia menjadi pintu masuk utama negara, jadi pembangunan di Sepang perlu dilaksanakan dengan cermat kerana bakal memberi tanggapan pertama terhadap negara ini.

“Justeru, pembangunan Sepang perlu diuruskan dengan baik kerana ia kawasan yang sedang membangun dengan rancak ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Sumbangan IPR Peringkat Daerah Sepang 2018 di Dewan Orang Ramai Kg Hulu Chuchoh, hari ini.

Selain itu, Amirudin berkata, Sepang juga mempunyai potensi bagi pembangunan sektor pelancongan dengan kewujudan beberapa kawasan pelancongan menarik seperti Avani Sepang Goldcoast serta berhampiran dengan Port Dickson.

Katanya, bagi sektor pertanian pula, Sepang terkenal sebagai antara daerah pengeluar buah naga terbesar negara.

“Sepang antara kawasan pengeluar buah naga terbesar di Malaysia dianggarkan lebih 122 hektar dan kawasan yang sangat membangun.

“Jika dapat kita melaksanakan pembangunan di Sepang dengan seimbang, kita akan memiliki satu kawasan bandar yang maju dengan persekitaran alam sekitar yang terpelihara,†katanya.