JELI – Kaedah lebih tepat akan dibincangkan Umno Jeli dalam usaha mendapatkan senarai ahli yang sahih dan terkini.

Ketua Umno bahagian, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kaedah akan dibincangkan melalui Bengkel Pemutihan Cawangan yang diadakan hari ini akan membantu jawatankuasa parti mengenal pasti status ahli di cawangan masing- masing.

“Keahlian Umno yang tak kurang daripada 3.5 juta ahli seluruh Malaysia dan 15, 000 di Jeli amat tidak tepat, kita pula bangga dengan angka tersebut.

“Sedangkan sesetengahnya sudah lama meninggalkan parti selain ada yang dah meninggal. Kita tertipu dengan angka- angka berkenaan,” katanya kepada media ketika menghadiri bengkel berkenaan di sini, hari ini.

Sebahagian yang hadir pada Bengkel Pemutihan Cawangan di sini, hari ini.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, bengkel tersebut merupakan inisiatif pertama dilakukan pihaknya dalam mengenal pasti status keahlian ahli Umno di bahagian berkenaan.

“Mana- mana ahli yang meninggal dan dah tak bersama kita perlu dikeluarkan tapi tak boleh ada pilih kasih atau diskriminasi,” katanya.

Tambahnya, pemutihan akan dilakukan di peringkat cawangan berikutan pemimpin berkenaan lebih tahu tentang status ahli di setiap cawangan masing- masing.

“Kaedahnya akan dibincangkan dalam bengkel ini, bersihkan yang mati dan tak menyokong, pergi ke akar umbi beri penerangan isu semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapa mengakui, sebelum ini tidak ada usaha tersusun dan tepat berhubung proses pemutihan berkenaan.